Seorang wanita dari Essex, England dilaporkan telah menghadapi detik menjijikkan apabila sistem kumbahan pangsapuri yang didudukinya tiba-tiba sahaja meletup dan melimpahkan najis manusia, lapor akhbar Daily Star.
Wanita yang bernama Mikayla Collins,33, itu berkata bahawa dia terpaksa berpindah keluar daripada kediamannya itu buat sementara waktu kerana setiap sudut rumahnya telah dipenuhi najis.
Foto-foto selepas kejadian kumbahan pecah itu kemudian menjadi tular di mana ia menyaksikan rumah Mikayla telah bergenang dengan air keruh yang terdiri daripada najis dan sisa kumbahan yang lain.
Apa yang anda lihat itu adalah air tandas, air daripada mesin basuh dan semua jenis saliran dari jiran di tingkat atas serta semua objek yang dibuang ke dalam mangkuk tandas.
Ya, itu adalah najis manusia. Berkemungkinan terdapat banyak penyakit memenuhi rumah saya sekarang dan ini merupakan satu isu kesihatan awam.
Sementara itu, syarikat pemilik kediaman itu iaitu Santuary Housing tampil memohon maaf terhadap insiden itu dan telah mengarahkan kerja-kerja pembersihan dilakukan bagi membolehkan Mikayla kembali ke kediamannya secepat mungkin.