Siri Teater Tradisional Malaysia 2012: Usaha Pemeliharaan Teater Tradisional Malaysia

Siri Teater Tradisional Malaysia 2012: Usaha Pemeliharaan Teater Tradisional Malaysia

Siri Teater Tradisional 2012 merupakan satu program yang diadakan sempena bulan Festival Kuala Lumpur yang menekankan aspek penglibatan peserta dari pelbagai kaum. Program ini bertujuan untuk mengangkat martabat siri teater tradisional agar tidak lupus ditelan dek zaman.

Objektif mengadakan program Siri Teater Tradisional 2012 ini adalah untukmengangkat dan memartabatkan teater tradisional ke taraf kecemerlangan. Di samping itu, ia juga untuk meningkatkan penghayatan dan kecintaan terhadap teater tradisional dan satu usaha ke arah pemuliharaan dan pengekalan seni teater tradisional.

Advertisement

Membuka persembahan malam ini dan esok (30 Jun dan 1 Julai) di Panggung Eksperimen ASWARA mulai 8.30 malam ialah persembahan teater Opera Cina yang akan dipersembahkan oleh kumpulan Totalmas. Pada asal akar umbinya kumpulan ini mula diasaskan sekitar tahun 1957 dan bergiat aktif sehingga ke hari ini. Kumpulan ini telah dinamakan Persatuan Peminat Opera Dan Muzikal Cina Totalmas Kuala Lumpur (Opera Cina Totalmas) dan sebagai presiden kumpulan, Encik Tan Cho San (Frankie) menjadi tunjang utama menerajui semua aktiviti-aktiviti dan projek-projek bagi memastikan kumpulan ini bergiat cergas.
 Kumpulan ini dibantu oleh jurulatih-jurulatih yang terlatih di samping pemain-pemain watak (pelakon) dan ahli muzik. Kerjasama yang kukuh menjadikan kumpulan ini terus berkembang dan berjaya.

Opera Cina merupakan seni teater yang unik dan popular yang memaparkan identiti masyarakat Cina sejak ia dibawa masuk pada pertengahan abad ke 19. Opera menggunakan unsur-unsur teater percakapan seperti pemandangan pentas, kostum yang bersesuaian dengan tajuk pementasan opera, dan juga seni lakonan.

Opera ini masih dapat ditonton hingga sekarang disebabkan oleh kewujudan, dedikasi dan cinta para pelakon sesebuah kumpulan itu

Teater Wayang Kulit Purwo pula akan menemui penonton pada 5 dan 6 Julai di tempat dan waktu yang sama. Di Johor kesenian Wayang Kulit terdapat di bahagian selatan pantai barat dan biasanya digerakkan oleh penduduk-penduduk berketurunan Jawa. Bermula dari kedatangan orang-orang Jawa ke Tanah Melayu khususnya di kawasan pantai  barat Negeri Johor dan penempatan di kawasan Daerah Batu Pahat dan Pontian.

Di Kampung Parit Bingan Darat Mukim 8, Parit Raja ini kesenian Wayang Kulit Purwo ini telah diasas dan dipimpin oleh Allahyarham Embah Bakri seorang tokoh dikalangan masyarakat setempat. Beliau telah diangkat menjadi dalang wayang kulit purwo di kampung ini dan kemudiannya selepas perang dunia kedua diangkat pula Pak Sukur sebagai dalang seterusnya Dalang Tuan Haji Misiran Tarjo. Kumpulan ini kemudiannya diberi nama Kumpulan Wayang Kulit Purwo Setia Budi.

Kumpulan diambil alih oleh Dalang Encik Yusof Hj.Marji. Setelah beliau meninggal dunia kumpulan wayang kulit ini berpecah dua dan menggunakan nama asal Setia Budi dan menjalankan kegiatan di Kampung Parit Nipah dibawah pimpinan Wak Miskon dan kumpulan asalnya meneruskan kegiatannya dengan nama Kumpulan Wayang Kulit Sri Wahyuni di bawah pimpinan Dalang Encik Mohamad Hj.Marji dan Dalang Encik Margono Paijo. Pada masa lalu terdapat juga dalang-dalang undangan seperti Arwahnya Pak Margono Sitir dari Batu Pahat, Pak Misran dari Kluang, Pak Robion dari Johor Bahru dan Pak Karjo dari Pontian.

Manakala pada 7 dan 8 Julai. Teater Jikey akan dipentaskan di Panggung Eksperimen ASWARA oleh Kumpulan Teater Tradisional Negeri Kedah.

Kesenian Tadisional Jikey adalah sejenis teater rakyat yang terkenal di kalangan penduduk di Utara Semenanjung terutamanya di Negeri Kedah dan Perlis.

Jikey merupakan kesenian yang paling ketara dengan ciri-ciri tempatan hingga menjadi satu identiti Pulau Langkawi yang menggabungkan unsur muzik, nyanyian, tari dan lakon. Jikey merupakan sebuah teater tradisional yang mempunyai cirri-ciri ‘folk’ dan teater ini hampir pupus. Ianya berbentuk teater sekeliling pada zaman dahulu yang berbentuk gelanggang. Gelanggang ini dibina di atas tanah kerana lebih mudah ditonton serta dilakonkan ceritanya tetapi telah diubahsuai pada masa kini dan boleh dipentaskan diatas pentas moden.

Kesenian ini hampir pupus dan pemain wataknya adalah terdiri daripada golongan warga emas. Jesteru persembahan-persembahan yang berkala akan membantu kepada usaha pengekalan dan pemuliharaan kesenian ini dari terus ditelan arus pemodenan.

Orang ramai dijemput untuk menonton teater-teater tradisional ini di Panggung Eksperimen ASWARA pada tarikh-tarikh yang disebutkan mulai 8.30 malam. Pas masuk percuma boleh didapati di pintu masuk. Program ini diseliakan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara.

Kalau bukan kita yang menghargari teater tradisional kita, siapa lagi, bukan?

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...