Singapura muncul dengan ciptaan terbaru dan unik untuk menjaga penduduk negara tersebut mematuhi arahan penjarakan sosial. Ini berikutan daripada peningkatan kes jangkitan wabak COVID-19 yang berlaku dari hari ke hari.
Sehingga semalam, Singapura menyaksikan jumlah kes positif COVID-19 secara keseluruhan sebanyak 23,822 termasuk 486 kes terbaru.
Atas desakan ini, Singapura menghasilkan robot anjing dalam menguatkuasakan garis panduan COVID-19 di negara tersebut. Robot anjing berkenaan diberi nama ‘SPOT’ akan bertugas untuk memberi peringatan kepada orang ramai untuk menjaga jarak antara satu sama lain.
Robot anjing ini melakukan proses pengujian pertama di Taman Bishan- Ang Mo kio Park, Singapura. Robot berkenaan akan mengeluarkan suara arahan untuk memberi peringatan tentang gejala wabak COVID-19. Selain itu, robot ini juga ditugaskan untuk mengingatkan orang ramai yang berada di sekitar kawasan taman untuk melakukan penjarakan sosial setiap masa.
“Untuk keselamatan anda dan orang di sekeliling anda, sila jarakkan diri sekurang-kurangnya satu meter. Terima kasih.”
Robot canggih ini dicipta dan dibangunkan oleh Boston Dynamic dan diuji selama dua minggu bermula 8 Mac lepas di taman tersebut. SPOT dilengkapi dengan kamera yang mampu merakam dan merekod seberapa banyak pengunjung yang hadir di kawasan taman tersebut.
Sekiranya pengujian robot ini berhasil memberikan impak positif kepada rakyat Singapura, pihak berkuasa akan meletakkan lebih banyak robot anjing ini di beberapa kawasan hijau.
Sehingga 1 Jun ini, Singapura telah mengumumkan perintah berkurung dan rakyat hanya dibenarkan keluar atas urusan penting sahaja. Pemakaian topeng muka pada setiap masa juga diperketatkan.
Namun, aktiviti riadah di taman rekreasi masih lagi dibenarkan dengan syarat pengunjung harus mengikut garis panduan yang telah dikeluarkan. Pengunjung hanya dibenarkan untuk melakukan aktiviti secara bersendirian dan melakukan penjarakan sosial.