Pihak Berkuasa Tanah Singapura (SLA) pada Rabu (4 Jun) telah mewartakan pengambilan dua lot tanah bagi tujuan pembangunan semula dan peluasan Pusat Pemeriksaan Woodlands (Woodlands Checkpoint).
Menurut laporan Channel News Asia (CNA), lot-lot tanah berkenaan kini dimiliki oleh kerajaan Malaysia.
Menerusi kenyataan bersama, Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) serta SLA memaklumkan bahawa mereka akan bekerjasama erat dengan kerajaan Malaysia sepanjang proses pengambilan tersebut.
“Kami akan meneruskan kerjasama kukuh dengan kerajaan Malaysia bagi mengukuhkan keterhubungan dan hubungan antara rakyat,” menurut kenyataan itu.
Kedua-dua lot yang diambil itu berkeluasan 0.79 hektar (bersamaan 1.9 ekar), iaitu sedikit lebih besar daripada saiz padang bola sepak. Kawasan tersebut dipenuhi tumbuh-tumbuhan, tidak dibangunkan, dan terletak berhampiran kawasan utama yang dirancang untuk projek pembangunan semula.
Pengambilalihan ini merupakan sebahagian daripada perancangan jangka panjang ICA untuk menaik taraf dan memperluas Woodlands Checkpoint secara berperingkat dalam tempoh 10 hingga 15 tahun bagi menangani isu kesesakan yang berlarutan.
Untuk Fasa 1 projek tersebut, ICA akan memulakan pembinaan peluasan di kawasan Pusat Bandar Lama Woodlands, dengan kerja-kerja dijangka bermula sekitar suku ketiga tahun 2025.
Pembangunan ini turut merangkumi penyediaan kemudahan pelepasan automatik baharu untuk kenderaan kargo dan kenderaan masuk.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.