Difahamkan dari laporan Berita Harian, dua organisasi media utama iaitu Sin Chew Media Corporation Bhd dan Sinar Karangkraf Sdn Bhd masing-masing dikenakan kompaun RM100,000 oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Jalur Gemilang tak lengkap, info polis tak sahih
Menurut kenyataan rasmi MCMC hari ini, tindakan tersebut dibuat selepas mendapat kebenaran daripada Jabatan Peguam Negara, susulan dua kes berbeza yang dianggap melanggar etika siaran dan menjejaskan imej negara.
Bagi kes Sin Chew, siasatan mendapati mereka telah menyiarkan ilustrasi Jalur Gemilang dalam keadaan tidak lengkap di akhbar digital mereka, di mana ia sesuatu yang tidak wajar, apatah lagi melibatkan simbol rasmi negara.
Manakala Sinar Karangkraf pula dikenakan tindakan selepas memuat naik maklumat tidak tepat tentang Ketua Polis Negara menerusi profil di akaun rasmi Instagram mereka yang menyentuh hal berkaitan kepimpinan parti politik tempatan.
Siasatan bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, media & netizen diingatkan sebar ketepatan serta berita sahih
Kedua-dua siasatan dijalankan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dengan hukuman seperti diperuntukkan mengikut Seksyen 233(2), manakala tindakan kompaun dibuat mengikut Seksyen 243 akta sama.
Menurut MCMC, Jalur Gemilang merupakan lambang kedaulatan, perpaduan serta maruah negara yang wajib dipaparkan dengan tepat dan penuh hemah setiap masa.
Tambahan lagi, penyebaran maklumat palsu membabitkan institusi keselamatan negara boleh menggugat ketenteraman awam dan keyakinan rakyat terhadap pihak berkuasa.
Sehubungan itu, semua organisasi media dan pengguna media sosial diingatkan sentiasa memastikan ketepatan serta kesahihan kandungan diterbitkan, khususnya apabila membabitkan lambang dan simbol rasmi negara.