Jika anda peminat kisah-kisah diraja, nama Tengku Zubaidah binti Tengku Norudin pasti pernah mencetuskan rasa ingin tahu. Sosok wanita ini sering digambarkan sebagai cantik, berpendidikan tinggi dan penuh misteri, terutama selepas dikaitkan dengan istana Kelantan pada awal tahun 2000-an.

Turut dikenali dengan nama Kangsadal Pipitpakdee, Tengku Zubaidah berasal daripada kerabat diraja Pattani, Selatan Thailand. Latar keluarganya juga bukan calang-calang , ayahandanya, Viroj Pinitpakdee, pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Pattani.
Pernikahan Diraja Yang Pernah Mengejutkan Istana
Tengku Zubaidah pernah bergelar isteri kepada Sultan Muhammad V, Sultan Kelantan ke-5. Pasangan ini bernikah pada 15 November 2004 di Kota Bharu, Kelantan.

Menurut laporan dan cerita istana, pertemuan mereka dikatakan berlaku sekitar dua tahun lebih awal di sebuah majlis perkahwinan di Bangkok sebelum membawa kepada ikatan pernikahan diraja.
Perkahwinan “Diatur” Atas Hubungan Kekeluargaan
Terdapat dakwaan bahawa perkahwinan ini sedikit sebanyak “diatur” oleh Raja Perempuan Tengku Anis, bonda kepada Sultan Muhammad V. Ini kerana Tengku Anis dan ayah Tengku Zubaidah dipercayai mempunyai hubungan sepupu, sekali gus menghubungkan dua jalur darah diraja Pattani dan Kelantan.
Gelaran Megah Di Istana Kelantan

Selepas pernikahan, Tengku Zubaidah dikurniakan gelaran Yang Teramat Mulia Tengku Ampuan Mahkota Kelantan, seiring dengan suaminya ketika itu yang bergelar Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra. Kemunculannya di istana ketika itu sering mencuri perhatian kerana keanggunan dan aura diraja yang tersendiri.
Perkahwinan Yang Tidak Berpanjangan
Namun, kisah indah itu tidak bertahan lama. Beberapa tahun selepas perkahwinan, Tengku Zubaidah dilihat semakin jarang muncul di majlis rasmi diraja. Walaupun tiada pengumuman rasmi mengenai perceraian, umum mengetahui bahawa jodoh mereka tidak berkekalan.
Latar Kelahiran & Pendidikan
Menurut laporan The Sydney Morning Herald, Tengku Zubaidah dilahirkan pada tahun 1974 di daerah Yaring (Jering), Pattani, salah satu wilayah majoriti Muslim di Selatan Thailand. Beliau membesar di Pattani sebelum melanjutkan pengajian ke Universiti Mahidol, Bangkok antara universiti terkemuka di Thailand.
Gabungan darah diraja dan pendidikan tinggi menjadikan beliau figura yang sentiasa diperkatakan, walaupun jarang tampil di khalayak.
Kehidupan Terkini Yang Terus Menjadi Misteri

Sehingga kini, lokasi sebenar Tengku Zubaidah tidak diketahui secara rasmi. Namun, beliau dipercayai telah kembali menetap di Thailand, berkemungkinan di Bangkok, dan memilih untuk menjalani kehidupan jauh daripada sorotan media serta protokol diraja Kelantan.
Kenangan Yang Masih Diingati
Salah satu detik paling dikenang ialah penampilan Tengku Zubaidah pada 29 November 2004 di Istana Balai Besar, sempena Majlis Pengisytiharan Menutup Perayaan Jubli Perak Sultan Ismail Petra. Ketika itu, beliau tampil anggun dan memukau, meninggalkan kesan mendalam kepada rakyat yang menyaksikannya.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.

