Setiap yang hidup pasti akan mati. Tak kira muda ataupun tua. Baru-baru ini seorang pelajar pondok yang berusia 14 tahun telah pergi meninggalkan dunia yang fana akibat kegagalan injap jantung.
Semasa majlis pengebumian pelajar tahfiz ini, muncul seorang pemuda yang misteri dan menjadi tanda tanya kerana membantu menguruskan pengebumian meskipun beliau bukan ahli keluarganya.
Ini telah diceritakan oleh seorang pengguna Facebook yang juga bapa saudara arwah Alif Fikri Abd Rahim yang menceritakan tentang pemuda yang berhati mulia ini.
Pemuda misteri yang sangat membantu uruskan jenazah
Menurut Hanapi Jusoh, semasa orang lain bersedia untuk solat jenazah ke atas jasad anak buahnya Alif, beliau terlihat seorang pemuda berbaju merah jambu berada di saf hadapan sekali suaranya sebak sambil mulutnya tidak henti-henti mendoakan Alif.
Semasa di kubur pemuda ini juga bertungkus lumus membantu semadikan jenazah hinggakan bajunya basah berpeluh.
Kami ahli keluarga tidak kenal pemuda ini. Mungkin kawan Alif sebab ramai sangat yang hadir.
Rupanya doktor merawat Alif
Lalu ayah Alif menegurnya:
Encik dari mana? kawan Alif ke? sebab tak pernah tengok.
Pakcik, sayalah Doktor yang merawat Alif sepanjang dia di Hospital. Saya datang sini saya tengok alamat pada rekod Alif.
Saya minta maaf banyak-banyak, saya dah lakukan yang terbaik. Allah lebih sayangkan dia. Dia muda lagi tak ada dosa, saya tak ada kuasa. Allah maha kuasa, saya doktor pun akan mati.
Mendengar itu mereka berpelukan sambil masing-masing menitis air mata.
Ayah Alif yang terkejut dengan kehadiran doktor muda ini memeluknya erat. Sudah tentu kehadirannya atas rasa empati dan penghormatan terakhir buat pesakitnya.
Dok apa lah doktor. Kita redha blake doh, doktor buat yang terbaik doh.
Mereka berbual pendek dan doktor ini berjalan bersama guru madrasah Alif ke kereta. Sebelum balik doktor ini sempat lagi menghulur sumbangan kepada guru itu lalu berkata:
Terima kasih banyak sebab selama ni mendidik Alif.
Mulianya hatimu Doktor muda. Bukan sahaja cerdas akalnya malah tinggi akhlaknya.
Tahniah kepada ibu bapa yang mendidiknya dan tahniah kepada Hospital Besar Nur Zahirah Kuala Terengganu kerana memiliki Pegawai Perubatan yang tinggi akhlaknya.
Saya tidak kenal doktor muda ini. Tak sempat bertanya namanya. Kalau ada sahabat FB saya kenal doktor ini boleh tag namanya kami sekeluarga ingin bertemunya lagi.
Posting Hanapi telah membuatkan ramai netizen sebak dan mendapat banyak perkongsian.
Rata-rata netizen yang melihat posting ini mengucapkan takziah kepada keluarga ini dan memuji sifat keperibadian doktor ini.
Semoga arwah tenang di sana, Al- Fatehah.
Sumber: Facebook