Pada hari ini, pasaran perkhidmatan menggunting seperti cendawan timbul selepas hujan. Kalau dahulu, perkhidmatan ini dimonopoli oleh golongan pertengahan umur antara 40-50-an.
Tetapi kini anak muda juga mampu membuktikan mereka juga boleh bergerak seiring seperti golongan tersebut malah lebih berjaya dan kedepan.
Sebagai contoh, sebuah kedai gunting di Kulim, Kedah ini berjaya menjana pendapatan sekitar RM20,000 sebulan.
Pengasas Embassy Of Kiri, Akmal Mohd. Akhir, 29, berkata, minat mendalam terhadap bidang tersebut mula membuahkan hasil apabila perniagaan yang mula diusahakan sejak lima tahun lalu membawa pulangan keuntungan sehingga RM20,000 sebulan.
“Saya mulakan perniagaan ini di jalanan dekat Kulim, Kedah dan lama-kelamaan, apabila saya sudah mempunyai pelanggan tetap, saya membuka premis perniagaan sendiri dengan mengambil pekerja seramai dua orang sahaja.”
“Dengan perkhidmatan gunting rambut yang berkonsepkan klasik Inggeris ini, saya berharap beberapa cawangan dapat dibuka pada masa akan datang seterusnya meluaskan perniagaan ini ke peringkat antarabangsa,” katanya.
Tambah Akmal, pelanggan yang sering diterima adalah mereka yang berumur 40-an dan potongan rambut yang sering diminta adalah gaya rambut barat seperti executive contour dan taper.
“Di samping itu, pekerja memakai kot dan tali leher ketika menjalankan tugas adalah salah satu keunikan yang dapat dilihat di kedai kami.”
“Saya juga memasarkan produk minyak rambut atau pomade yang dihasilkan sejak 2014 tanpa menggunakan bahan seperti gelatin,” katanya.
Keunikan yang ditampilkan oleh kedai gunting ini mampu menjadikan servis mereka menjadi pilihan utama pelanggan.
Hari ini, buat sahaja bisnes apapun,yang penting tonjolkan keunikan dari bisnes tersebut.InsyaAllah bisnes akan mudah dikenali ramai.