Aksi Malaysia vs Indonesia pada malam semalam di peringkat separuh akhir Sukan Sea 2017 Kuala Lumpur ternyata menjadi perlawanan yang dinantikan penyokong kedua-dua negara.
Sebelum ini, pasukan Thailand telah menewaskan Myanmar 1-0 dalam aksi awal separuh akhir yang berlangsung di Stadium MP Selayang.
Pada perlawanan separuh akhir yang berlangsung di stadium shah alam semalam, kedua-dua pasukan dilihat mencari rentak untuk menjaringkan gol awal sehingga tamat separuh masa pertama. Di separuh masa yang kedua, rentak pasukan negara sedikit meningkat dengan serangan bertali arus walaupun diberi tentangan sengit oleh pasukan Indonesia.
Hasilnya, gol tunggal dari N.Thanabalan memecah kebuntuan apabila berjaya menjaringkan gol tunggal untuk negara sekali gus mengesahkan Malaysia bertemu Thailand di perlawanan akhir Sukan Sea 2017 untuk penentuan pingat Emas.
Siapa N. Thanabalan?
Mungkin ramai antara kita masih belum mengenali satu nama yang menjadi ‘wira tak didendang’ buat skuad B-22 kebangsaan iaitu N. Thanabalan, 22 kerana namanya sebelum ini agak kurang diberi pendedahan.
Beliau yang berasal dari Kampung Sagga, Rantau, Negeri Sembilan ini mencuri tumpuan rakyat Malaysia dalam Sukan Sea 2017 ini apabila ledakan 2 golnya membantu Malaysia memenangi perlawanan dengan Myanmar (21 Ogos 2017).
Ketua jurulatih skuad B-22 kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee sememangnya menggemari rangkaian tiga serangkai di jentera serangan.
Antara penyerang yang tersenarai dalam kesebelasan utama di jentera serangan ketika ini adalah Jafri Firdaus Chew, Syamer Kutty Abba dan S. Kumaahran serta rangkaian Jafri Firdaus Chew, S. Kumaahran dan Syafiq Ahmad.
Walaubagaimanapun, ketika perlawanan persahabatan di China pada bulan Jun yang lalu, N. Thanabalan antara pemain menyerlah bersama-sama Syamer Kutty Abba, Jafri Firdaus Chew dan bekas kapten Frenz United yang kini beraksi bersama Felda United, Daniel Amer Norhisham.
Beraksi dalam ketiga-tiga aksi di China, Thanabalan telah menyumbang satu gol ketika menang tiga gol tanpa balas menentang pasukan simpanan Guangzhou Evergrande.
Sepanjang tahun 2017, Thanabalan menyumbang 9 gol daripada 23 gol yang dijaringkan oleh skuad muda negara dan aksinya ketika di kelayakan Kejohanan B-23 AFC 2018 yang paling mencuri tumpuan.
Aksi N.Thanabalan ketika menentang Mongolia di kelayakan Kejohanan AFC B-23, di Bangkok, Thailand.
Tidak ramai mengetahui sejak berusia 18 tahun, penyerang muda ini bergelut dengan masalah keluarga apabila terpaksa menjadi satu-satunya pencari rezeki buat keluarganya.
Ayahnya, S. Nadarajah telah lumpuh selepas mengalami kemalangan jalanraya empat tahun lalu.
Thanabalan (kiri) bersama keluarganya.
“Sukar untuk serta-merta menyara keluarga kerana pendapatan saya sebagai pemain muda tidak banyak. Keadaan keluarga kini lebih baik tetapi matlamat saya adalah untuk memberikan yang lebih baik untuk keluarga saya,” ujarnya yang kini menyara ibu dan dua adiknya.
Pemain yang merupakan anak jati Negeri Sembilan kini beraksi secara pinjaman di Felcra FC bersama-sama kapten skuad B-22 kebangsaan, Adib Zainuddin. Dibawah bimbingan Roslee Md Derus. Pemain muda itu kini sedang bersaing dalam Piala FAM musim ini.
N.Thanabalan bersama pasukan Felcra FC ketika aksi menentang MOF FC pada 8 Mei 2017
Bergelut dengan kehidupan susah menjadi motivasi buat dirinya untuk berjaya. Bak kata papatah, ‘Yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang.’
Beliau telah mempamerkan karakter tersendiri seorang juara dengan aksi-aksi yang konsisten sejak akhir-akhir ini dan akhirnya beliau berada dalam kesebelasan utama pasukan kebangsaan B-22 tahun serta berjaya membantu skuad negara ke perlawanan akhir bola sepak Sukan Sea 2017 Kuala Lumpur.
Sumber : FA Malaysia Official , orangnogori & thestar