Bermula Julai atau Ogos tahun ini, medan selera bernilai RM20 juta bakal dibina di Bukit Bendera, Pulau Pinang bagi menggantikan struktur sedia ada yang kini sedang dalam proses perobohan.
Kerja-kerja perobohan kini dalam proses
Menurut laporan dari Malay Mail, Penang Hill Corporation sedang giat menjalankan kerja-kerja perobohan Astaka lama, dengan 60 peratus kerja perobohan sudah pun siap.
Pengurus Besar Penang Hill Corporation, Datuk Cheok Lay Leng, menyatakan bahawa mereka menyasarkan untuk menyiapkan keseluruhan kerja perobohan sebelum Julai bagi memastikan pembinaan kompleks makanan baharu dapat dimulakan pada Julai atau Ogos 2025.

Kami juga perlu menjalankan kerja penstabilan cerun untuk memastikan keselamatan memandangkan tapak ini terletak di lereng bukit.
Medan selera baru lebih besar, kapasiti ditambah dua kali ganda
Projek medan selera ini bukan sekadar pembinaan biasa, medan selera ini akan mampu menampung 600 orang dalam satu masa, berbanding dengan Astaka lama yang hanya dapat menampung 300 orang.
Pembinaan dijangka siap sepenuhnya menjelang Disember 2026, dengan medan selera baru ini dijadualkan dibuka kepada orang awam pada bulan yang sama.
Kami berharap projek-projek ini akan menyediakan lebih banyak tarikan kepada para pengunjung Bukit Bendera.