Baru-baru ini, tular di media sosial satu video menyentuh hati melibatkan seorang wanita warga emas berbangsa India yang menunjukkan sikap prihatin terhadap pekerja kurier di hadapan rumahnya.
Video tersebut dikongsikan oleh seorang pekerja kurier wanita di TikTok. Ia memaparkan wanita warga emas itu berdiri di hadapan pagar rumahnya sambil memegang secawan air berwarna oren dan sebotol air kosong.
Apa yang menarik, minuman tersebut sebenarnya bukan untuk dirinya, tetapi untuk diberikan kepada pekerja kurier yang sedang bertugas di depan rumahnya.
Pekerja kurier wanita itu kemudian dilihat meneguk air yang diberi dan berkongsi dengan seorang lelaki dipercayai suaminya.
Melihat hal itu, warga emas tersebut turut menawarkan satu lagi cawan untuk mereka. Namun, tawaran itu ditolak dengan sopan oleh wanita kurier berkenaan yang mahu berkongsi sahaja minuman tersebut dengan suaminya.

gambar hiasan
Tidak terhenti di situ, warga emas itu juga memberikan sebotol air minuman sejuk sebagai bekalan untuk pasangan suami isteri itu meneruskan kerja mereka.
Menurut pekerja kurier tersebut di ruangan komen, warga emas itu sering melakukan perkara sedemikian kerana mengikut pesan suaminya agar sentiasa memberi minuman sejuk kepada sesiapa yang bekerja di hadapan rumah mereka.
Rata-rata orang ramai memuji sikap warga emas tersebut dan meluahkan rasa kagum dengan tindakannya yang menyantuni pekerja kurier itu.
Selain itu, kami kongsikan pautan artikel lain yang menarik di bawah.