Pelawak dan usahawan, Shuib akui perit untuk dia menerima ujian pemergian anak dalam kandungan isterinya, Watie Hanifiah yang berusia lebih kurang tiga bulan.
Menerusi satu temu bual bersama Melodi, Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhammad mendedahkan bahawa dia diselubungi dengan perasaan trauma apabila Watie mengumumkan dirinya sah berbadan dua.
Tambah Shuib, perasaan itu datang tanpa diduga kerana pengalaman hitamnya yang kehilangan arwah Siti Sarah ketika melahirkan anak mereka yang keempat iaitu Ayash Affan.
Perasaan itu datang tiba-tiba. Bila Watie beritahu dia mengandung, saya rasa takut hilang dia.
Dulu orang pernah cakap dekat saya, Sarah meninggal dunia sebab lahirkan anak keempat. Jadi, bila Watie mengandung perasaan itu datang kembali.
Dia turut memaklumkan bahawa dia pernah memberitahu isterinya tentang perasaan takutnya namun ditenangkan oleh Watie.
Saya banyak kali beritahu Watie, saya takut perkara sama berulang lagi. Watie cuma cakap ‘itu jalan yang Sarah lalui’.
Dalam pada itu, Shuib turut berkongsi bahawa keadaan Watie pada minggu pertama agar sukar apabila dia perlu menjalani proses berpantang tanpa kehadiran bayi.
Kata Shuib, isterinya menangis teruk kerana dia sedang menikmati fasa kehamilan.
Hari pertama dan kedua, Watie tak mahu bercakap dengan sesiapa kecuali saya dan anak-anak.
Minggu pertama agak mencabar untuk saya fahamkan Watie dengan ujian ini tapi sekarang alhamdulillah Watie semakin baik keadannya.
Shuib turut memohon doa dari orang ramai agar Watie diberikan kekuatan untuk reda dengan ujian yang menimpa mereka sekeluarga.