Aktres kelahiran Malaysia dan bertapak di Manhattan, Shiva Kalaisevan, 29, kini melakonkan watak sebagai pemimpin kontinjen wanita League of Shadows dalam siri televisyen Gotham di Amerika Syarikat.
Shiva muncul buat kali pertama dalam siri itu 29 Mac lepas. Siri itu memaparkan kisah awal kehidupan Bruce Wayne atau Batman di zaman kanak-kanak semenjak kedua-dua ibu bapanya dibunuh, dan kini memasuki musim keempat. Mengenai pemilihannya untuk berlakon dalam siri itu, Shiva memberitahu The Star:
Saya tak tahu bagaimana nak gambarkan perasaan saya. Ia lebih dari gembira dan seronok. Ini peluang yang diimpikan dalam bidang ini, sebelum ini saya hanya bayangkan bagaimana jika saya berjaya dapat peluang itu. Tapi sebenarnya, ia lebih dari apa yang saya bayangkan. Saya tak mungkin dapat bayangkan pengalaman seperti ini.
Ramai rakyat Malaysia memperkatakan mengenai pemilihan Shiva untuk berlakon dalam siri popular ini, namun ada juga yang mengaitkannya dengan Raja Ilya, yang sebelum ini mendakwa menolak tawaran berlakon filem Marvel. Menurut Madam Effa, jika dia menjadi Raja Ilya, dia akan bersara dari jadi artis dan mula menjual Vadey atau Muruku.
Sebelum ini, Raja Ilya memberitahu telah menerima tawaran untuk berlakon filem Marvel dan telah menghabiskan sepanjang tahun lepas mempersiapkan diri secara fizikal untuk berlakon dalam filem tersebut. Walaupun begitu, dikhabarkan Raja Ilya menolak tawaran itu setelah ke Amerika Syarikat selepas mempertimbangkan beberapa isu termasuk terma dan syarat diatur oleh studio filem.
Raja Ilya bagaimanapun memberitahu diterima untuk berlakon satu filem lain dan berpeluang menghadiri uji bakat dan serta bertemu dengan krew perfileman di sana. – beautifulnara.com