PENYANYI wanita popular tanah air, Shila Amzah atau nama sebenarnya Nurshahila Amir Hamzah, hari ini dianugerahi ‘Ikon Wanita Muda 2014’ bersempena Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala Lumpur.
Shila, 24, diwakili bapanya, Datuk Amir Amzah Salleh (ND Lala) untuk menerima anugerah itu yang disampaikan Ketua Puteri Umno Datuk Mas Ermieyati Samsudin.
Penyanyi itu, yang kini berada di Beijing, China, untuk rakaman rancangan muzikal di negara berkenaan, melahirkan kebanggaan dan penghargaannya atas penganugerahan itu menerusi video pendek yang dipaparkan kepada perwakilan di dalam dewan persidangan.
“Saya rasa terharu dan bersyukur dengan anugerah yang diberikan oleh Puteri Umno. Saya berterima kasih kepada Ketua Puteri Umno kerana mengiktiraf bakat seni saya.
“Harapan saya kepada belia wanita muda di luar sana supaya sentiasa menyokong usaha Puteri Umno dan selamat bersidang kepada anggota-anggota Puteri Umno,” katanya.
Tahniah diucapkan buat Shila Amzah atas anugerah ini. Semoga ia menjadi pemangkin buat penyanyi ini untuk menunjukkan prestasi yang lebih baik di masa hadapan.