Penyanyi Shiha Zikir meluahkan rasa sedih selepas legenda muzik tradisional, Noraniza Idris menerima kecaman segelintir netizen di aplikasi Threads.
Shiha atau nama sebenarnya Nurshiha Mohd Zikir berkata dia terkejut apabila Noraniza, yang mesra disapa Kak Ani, dikritik hanya kerana memuji lagu nyanyiannya berjudul Minta Ampun.

“Saya sedih apabila Noraniza Idris terima kecaman seperti itu. Pada saya, macam ini ke jadi peminat? Kenapa sanggup komen seperti itu?”
“Saya sangat neutral. Saya rasa dia tidak buat salah. Dia tidak komen terlalu kasar yang ditujukan atau libatkan orang lain.”
Shiha berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran lagu raya Memori Raya di Red Box Karaoke, Kuala Lumpur pada Khamis.
Menurutnya, dia tidak menyangka masih ada peminat yang terlalu taksub sehingga sanggup melemparkan kata-kata negatif terhadap artis lain di media sosial.
“Bagi saya, dia (Noraniza) adalah seorang legenda. Jujur saya sangat sedih dan bergenang air mata saya. Terkejut dengan segelintir peminat macam itu.”
Dalam masa sama, Shiha turut mengingatkan peminat supaya lebih berhemah ketika meninggalkan komen di media sosial kerana setiap kata-kata boleh memberi kesan kepada orang lain.
“Saya faham ada penyokong yang obses, tapi kena ada batasnya. Sebelum buat apa-apa, kena fikir dahulu.”
“Saya memang selalu pesan dekat peminat untuk tidak komen toksik kepada penyanyi lain. Memang saya akan beritahu mereka. Itu tidak baik.”
Terdahulu, Noraniza Idris dikecam segelintir netizen selepas berkongsi bahawa lagu raya kegemarannya tahun ini ialah nyanyian Shiha yang menurutnya sarat dengan elemen kemelayuan serta mampu menyentuh hati pendengar.
Menurut Noraniza, lagu raya sepatutnya tidak terlalu mengikut eksperimen muzik atau trend semasa kerana genre tersebut mempunyai identiti dan jiwa tersendiri.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.

