Dilihat seakan menyeru orang ramai khususnya warganet supaya tidak memandang golongan penggiat seni sebagai kelompok yang menikmati kehidupan serba mewah dengan status mereka sebagai selebriti, pelakon Sheila Mambo menyatakan mereka juga tidak terlepas daripada berdepan cabaran.
Menurut Sheila, golongan artis juga turut terkesan dengan masalah kewangan lebih-lebih lagi bagi individu yang sudah berusia atau bergelar veteran.
“Bila jadi artis orang labelkan sebagai orang kaya, orang senang..hakikatnya tidak. Di Malaysia apa sangat yang paling tinggi. jadi orang di luar sana jangan sangka artis semuanya kaya. Tidak.”
Tidak ketinggalan, Sheila memaklumkan orang ‘lama’ sepertinya juga sering berdepan dengan isu bayaran yang tidak setimpal.
“Ada pernah tu dapat job untuk dua hari sahaja. Itu pun minta ‘dikecil-kecilkan’ lagi bayaran. Kadang-kadang mereka jadikan alasan sebab pelakon ramai. Walhal minta bukan beribu-ribu pun. Apatah lagi dengan keadaan situasi (pandemik) sekarang, mereka fikir kita akan terima sahaja apa bayaran sebab terdesak.”
Sekadar informasi, Sheila antara 25 penggiat seni yang menerima kediaman PPR menerusi insiatif Perumahan Komuniti Seni Prihatin.
Ujarnya lagi, selama tinggal di Kuala Lumpur, dia memang hanya menyewa dan tinggal bersama dua orang anaknya.
“Rumah sewa sekarang sudah 20 tahun saya duduk. Sebelum ini tak ada niat nak beli rumah di Kuala Lumpur sebab fikir hari tua ada rumah mak di kampung, tanah pun ada. Bila dapat rumah PPR ini syukurlah. Ini kira satu rezeki,”
Rentetan itu, Sheila juga dilihat seakan langsung tidak kisah sekiranya ada pihak yang mungkin mempersoalkan status artis yang dilihat mudah untuk mendiami rumah PPR.
“Orang bergelar Datuk, Datin, Tan Sri kalau dapat rumah ini pun mereka mahu. Janganlah pertikai rezeki orang.
Sumber: Gempak