Malam semalam telah berlangsung Pertandingan Akhir Nyanyian Lagu Melayu Antarabangsa 2011 yang menyaksikan 10 orang peserta negara luar berentap. Pertandingan yang turut bersiaran secara langsung di TV1 itu telah menyaksikan peserta dari Yemen, Shehabaddin Gahal Hael menyandang gelaran juara kategori lelaki, manakala peserta dari Kemboja, Sa Pily telah terpilih sebagai juara kategori perempuan.
Walapun hanya berada selama tiga bulan di bumi Malaysia namun Shehabaddin turut merangkul gelaran Persembahan Vokal Terbaik di yang membolehkan beliau menerima hadiah wang tunai berjumlah RM 11,000. Paling menarik beliau yang sedang belajar di negeri Indera Kayangan ini menghafal dan memahami lirik lagu yang disampaikan dengan bantuan kawan-kawannya melalui terjemahan Bahasa melayu ke Bahasa Arab
Gigih berlatih selama 3 jam setiap hari memberi pulangan lumayan ketika memenangi pertandingan pertama kali dianjurkan oleh Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara (JKKN), Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia(KPKK).
Ketika ditanya apa yang akan dibuat dengan hadiah wang tunai yang dimenangi, beliau memberitahu wang tersebut digunakan untuk perbelanjaan pembelajarannya. Anak ke enam dari sembilan adik beradik ini berhajat untuk merakamkan lagu Melayu melalui ciptaannya sendiri sekiranya diberi peluang oleh komposer-komposer tempatan. Oleh sebab terdapat permintaan di entri lepas, kepada yang tidak berkesempatan untuk menonton Shehabaddin semalam, saksikan di sini:-
Perkembangan terbaru, oleh kerana sambutan hangat yang diberikan bukan saja oleh warganegara luar yang mahu menyertai pertandingan dan audiens di Auditorium Perdana, Angkasapuri malam semalam, malah masyarakat secara umumnya, menurut Ketua Pengarah JKKN, Datuk Norliza Rofli, pertandingan ini akan diadakan lagi pada tahun hadapan. Tahniah diucapkan kepada para pemenang dan selamat maju jaya!