Kontroversi rumah tangga pelakon Sharnaaz Ahmad dan Noor Nabila belum lagi reda dan memasuki episod baharu apabila pelakon itu memfailkan permohonan nusyuz terhadap isterinya, Noor Nabila Mohd Noor di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.
Difahamkan permohonan itu difailkan pada 19 September lalu. Menurut Sharnaaz, tindakannya memfailkan nusyuz itu kerana ingin memperbetulkan segala spekulasi hangat yang melanda rumah tangganya.
Sebab utama adalah untuk kita sama-sama selesaikan perkara ini dengan cara yang paling baik. Yang paling penting adalah untuk kebaikan bersama.
Peguam syarie Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Sharnaaz memaklumkan pihaknya telah menyerahkan saman kepada pihak Noor Nabila pada 22 September lalu. Perkara itu disahkan peguam syarie Azmi Mohd Rais yang mewakili Noor Nabila yang kemudian memohon satu tarikh bagi memasukkan pembelaan mereka.
Dalam prosiding sama, kedua-dua belah pihak juga masing-masing telah melantik wakil jawatankuasa pendamai (JKP). Sharnaaz telah melantik kakaknya iaitu Dr. Sherrini Ahmad Bazir Ahmad sebagai wakil jawatankuasa pendamai (JKP) manakala Noor Nabila melantik bapa tirinya, Abdul Halim Khan. Mahkamah kemudian menetapkan tarikh yang sama bagi laporan JKP kedua-dua belah pihak.
Sebelum ini, Noor Nabila memfailkan interim hadanah (hak jagaan anak sementara) terhadap anak tunggal mereka, Jebat Jayden pada 13 September lalu. Terdahulu, Sharnaaz telah menolak permohonan cerai yang difailkan isterinya kerana ingin cuba mempertahankan rumah tangganya yang dibina sejak dua tahun lalu.