Ibu warga Malaysia yang sedang dibicarakan di Sweden kerana memukul anak-anaknya telah menceritakan hal buruk tentang keluarganya di mahkamah dengan mengatakan yang anak-anaknya bukan saja mempunyai keupayaan untuk menipu, malah mempunyai motif untuk menipu.
Shalwati Nurshal menafikan semua tuduhan terhadapnya, mengatakan semua insiden yang diceritakan oleh anaknya ialah hasil kekeliruan, membesarkan cerita dan dalam beberapa kes, penipuan yang nyata.
Apabila ditanya oleh peguam Johan Kallus yang mewakili anak-anaknya sama ada semua insiden yang diceritakan ialah penipuan, Shalwati mengaku yang hujah anaknya adalah berdasarkan peristiwa benar tetapi mereka memperbesarkan cerita mengenai tahap keganasan yang dilakukan.
Sweden melarang sebarang bentuk hukuman berbentuk penderaan sejak tahun 1979, yang membawa maksud, Shalwati dan suaminya Azizul Raheem Awalluddin boleh dipenjarakan sehingga enam tahun sekiranya didapati bersalah memukul anak mereka.
Shalwati mendedahkan yang anak keduanya, Ammar, ialah seorang yang suka mencari perhatian dan tidak gembira kerana kawan-kawan di sekolah sering buat tidak tahu dengannya. Sambil menekankan pada insiden di mana pihak pendakwaraya menemui log perbualan Ammar melalui Skype di mana Ammar mendakwa bencikan ibu bapanya:-
Ammar tidak matang, dia fikir dia boleh jadi popular, jadi terkenal, jika dia beritahu kawan-kawan yang dia dipukul di rumah.
Sambil menahan tangis, dia berkata:-
Apa lagi yang kamu perlukan?
Ibu empat anak itu juga memberi komen tentang anak bongsunya, Arif, tidak memberi sebarang kenyataan tentang dipukul kepada polis semasa temubual awal, namun menukar cerita dalam temubual dengan polis beberapa minggu selepas itu.
Dia mengidolakan Ammar dan sangat dipengaruhi oleh abangnya. Rotan yang ditunjukkan olehnya kepada polis ialah rotan yang lengkap (rotan tersebut terbelah dua sebelum mereka datang ke Sweden), dan rotan itu digunakan untuk memukul Ammar semasa di Afrika Selatan.
Walaupun mengatakan yang buruk tentang anak-anaknya membuatkan dia nampak kecewa, bekas guru itu mengekalkan perawakan yang tegas malah memberikan pelajaran tatabahasa Inggeris tentang kata kerja modal kepada pendakwaraya, menyebabkan penterjemah berhempas pulas untuk memberi penerangan kepada pendakwaraya itu.
Peguam Shalwati Kristofer Stahre bertanya jika anak sulungnya Aishah mempunyai keupayaan untuk menipu, wanita itu melepaskan nafas panjang.
Shalwati memberitahu yang Aishah mempunyai kecenderungan untuk menipu bagi menyembunyikan apa yang dianggap oleh remaja itu sebagai perkara yang memalukan dirinya secara langsung, sepertimana Aishah menipu tentang mencuri coklat semasa berdiet sejak dua tahun yang lalu.
Anak lelaki keduanya, Adam, pula didakwa Shalwati mempunyai kecenderungan untuk berasa keliru bila diajukan persoalan kerana mempunyai masalah kefahaman.
Dalam temubual yang direkodkan dia kelihatan sangat keliru, dia tidak dapat mengingat tarikh dan sering tidak faham kata-kata pegawai yang menyoal. Ia sebenarnya menyedihkan.
Pada 10 Februari lepas Shalwati dan Azizul didakwa mahkamah Sweden dengan beberapa pertuduhan pencabulan integriti kanak-kanak, dengan cara memukul dan mendera anak-anaknya.
Tuduhan ini dikatakan berlaku di rumah mereka di Spånga, pinggir Stockholm antara 5 September 2010 dan 17 Disember 2013.
Perbicaraan bersambung 10 Mac.
Laporan asal: The Star Online