Mengimbas kembali kenangan sewaktu pertama kali bekerjasama dengan penyanyi Alif Satar dalam sebuah program, pelawak Shahrol Shiro tampil mendedahkan detik pertemuan mereka yang awalnya sedikit kekok.
Ujar pelawak itu, mereka khabarnya telah membuat penilaian terhadap perwatakan pandangan pertama sehingga menimbulkan salah faham tentang keperibadian dan sikap masing-masing.
“Minggu pertama sebelum start program tu aku cubalah berbual dengan dia. Masa berbual sikit-sikit cakap omputih, siap dengan kening terangkat sambil buat rolling eyes kat aku. Dalam hati ‘poyo gila mamat ni’ ni kompom jenis-jenis minum laga gelas dulu, nak buang air pun kat KLCC ni.”
Bahkan, Shahrol mengakui beliau hampir menarik diri dari program tersebut kerana menganggap gandingan mereka tidak serasi. Bertambah buruk, Shahrol juga mengetahui Alif juga kurang senang dengan dirinya yang dianggap agak kampung.
“Minggu tu aku mintak nak tarik diri sebab tak nak partner dengan mamat ni. Rupanya dia pun sama, tak nak partner ngan aku jugak. Katanya aku macam budak kampung. Sikit-sikit sebut nama Kluang. Macam lah ada Pavillion kat Kluang tu.”
Namun demikian, tanggapannya terhadap Alif meleset apabila beliau berkenalan lebih rapat dengan penyanyi itu kerana Alif merupakan seorang sahabat yang sangat baik.
“Kepala sama je gila-gila dengan aku. Break masa latihan akan solat asar sama-sama. Jauh dari budak moden yang ke arah barat yang aku sangka sebelum ini. Lama kelamaan hubungan itu sangat rapat. Masa aku kahwin dia lah pengapit aku.”
Menjengah ke ruangan komen posting tersebut, rata-rata pengikutnya mengagumi persahabatan yang terjalin antara Shahrol dan Alif. Bahkan, Shahrol dilihat tidak ketinggalan memberi nasihat kepada semua agar tidak terlalu cepat menilai seseorang hanya dari luaran sahaja.
Dalam perkembangan terbaharu, Alif kini merupakan pengacara bagi program Bigstage 2020 bersama pelakon Sherry Alhadad.
Sumber: Gempak