Penyanyi Hetty Sarlene, 36, mengumumkan bakal menimang cahaya mata pertama, baru-baru ini. Dia yang telah empat tahun berkahwin dengan lelaki pilihan, Dani Aaqil meluahkan rasa syukur di atas berita itu.
Hetty yang ditemui mStar online itu turut berkata, berita gembira itu merupakan hadiah teristimewa sempena ulang tahun perkahwinan mereka berdua yang ke-4 yang bakal disambut minggu hadapan.
Bekas bintang Gegar Vaganza ke-5 ini mengumumkan berita itu di menerusi entri terbaru di laman instagram miliknya.
“Kami akan menyambut ulang tahun perkahwinan yang keempat minggu hadapan dan untuk menjadikannya lebih istimewa sambutan kali ini, kami ingin berkongsi berita gembira bahawa kami bakal menimang cahaya mata pertama,”
View this post on Instagram
Mengulas lanjut mengenai kehamilannya, Hetty berkata dia mengalami alahan yang agak terruk pada tiga bulan pertama usia kandungannya. Oleh itu, dia mengambil serius nasihat doktor yang menggalakkan dia untuk banyak berehat dan tidur secukupnya sebelum menyambut kehadiran cahaya mata ini.
“Saya mengalami muntah-muntah, pening, emosi terganggu, pernah jatuh tandas dan macam-macam lagi. Saya akan ambil serius nasihat untuk banyak berehat dan tidur sebelum kehadiran anggota baru dalam keluarga kami. Setiap keajaiban pun ambil masa untuk tiba,”
Menerusi entri yang dimuat naik penyanyi kelahiran Singapura ini, Hetty dan suami sedang memegang papan hitam yang bertulis bulan Januari tahun 2021 menjadi tarikh jangkaan untuk kelahiran istimewa ini.
Manakala di ruangan komen, perkongsian tersebut telah dipenuhi dengan ucapan tahniah daripada netizen dan rakan artis yang mendoakan supaya Hetty dan bayi dalam kandungan sihat walafiat.