‘Sudah jatuh ditimpa tangga’. Itulah peribahasa yang sesuai untuk menggambarkan nasib seorang peneroka FELDA Jengka 8 di Pahang apabila rumah yang dijadikan tempat berlindung sebelum ini ditenggelami banjir bulan lalu, musnah dalam kebakaran.
Mangsa yang dikenali Fadilah Saari berumur 48 tahun bersama keluarganya kini tinggal sehelai sepinggang menumpang berteduh sementara di rumah inap desa berdekatan Masjid Jengka 18 sementara menunggu rumahnya dibina semula.
Beliau menjelaskan ketika kejadian, beliau berada di ladang kelapa sawit berdekatan rumah bagi menguruskan lembu ternakan manakala isteri ke bandar membeli barang keperluan.
“Kejadian disedari anak saya berusia 14 tahun yang melihat api marak di ruang tamu dan dia terus bergegas keluar rumah melalui pintu dapur. Apabila jiran sedar kejadian itu, penduduk bergegas masuk ke dalam rumah menyelamatkan ayah saya, seorang warga emas berusia 80 tahun”.
“Dalam keadaan kelam kabut itu orang ramai mendakwa anak saya berusia enam tahun berada di dalam rumah tetapi nasib baik dia pun berlari keluar ikut pintu dapur”.
Beliau berkata dalam kejadian sekitar jam 5 petang, rumahnya terbakar sepenuhnya manakala motosikal yang baru dibeli empat bulan lalu musnah dan keretanya turut mengalami kerosakan.
Tambahnya, kelengkapan rumah yang baru dibeli selepas banjir turut musnah dalam kebakaran itu. Kebakaran difahamkan bermula di ruang tamu ketika anak yang berusia enam tahun bermain pemetik api dengan membakar kayu rumah.
“Saya redha dengan ujian ini dan bersyukur semua ahli keluarga selamat dan tidak mengalami kecederaan”.
Datuk Nazri Ngah selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar melawat mangsa turut menghulurkan bantuan seperti makanan dan keperluan asas kepada Fadilah sekeluarga.
Beliau juga berkata kerajaan negeri akan memberikan bantuan susulan dan berharap keluarga mangsa tabah menghadapi ujian ini.
Sementara itu, Pengerusi Badan Khairat Masjid Wilayah Jengka, Razak Daud menjelaskan pihaknya juga menyediakan sumbangan kepada Fadilah untuk meringankan beban. Beliau berkata semua masjid di Felda Wilayah akan membuat kutipan bagi membantu membina semula rumah mangsa.