Penyanyi Sufian Suhaimi tidak melatah apabila sering diasak persoalan tentang jodoh malah dia lebih terbuka apabila ditanya tentang perancangannya untuk menamatkan zaman bujang.
Sufian atau nama sebenar Sufian bin Haji Suhaimi berkata dia juga berkeinginan untuk mempunyai pasangan hidup apabila melihat rakan-rakan memilih untuk menamatkan zaman bujang dalam era pandemik.
Menurut Sufian, 29, dia tidak terburu-buru untuk mendirikan rumah tangga sehingga bertemu dengan pasangan yang sesuai dan mempunyai keserasian bersama.
Penyanyi lagu Di Matamu itu beranggapan ia sudah menjadi fitrah dalam hidup kita untuk berpasangan. Maka, sudah tentu dia juga mempunyai rasa yang begitu tetapi tidak terburu-buru untuk kahwin secepat mungkin.
Saya gembira lihat rakan-rakan saya yang menamatkan zaman bujang, menerusi fasa seterusnya dalam kehidupan. Ini rezeki mereka.
Ditanya apakah ciri-ciri wanita idaman dan keinginan untuk berkahwin dalam kalangan artis. Sufian menjawab dia tidak memilih dan tidak kisah berkenalan dengan wanita yang bukan dalam kalangan selebriti. Malah, lebih terbuka dan tidak akan merahsiakan sekiranya sedang menjalinkan hubungan dengan seseorang.
Saya bukan jenis nak rahsiakan kalau saya ada berkawan dengan someone special. Saya nak je dengan orang biasa, saya tak kisah artis ke tak artis ke kalau sesuai dan serasi kita jalan je.
Terdahulu, Sufian memaklumkan dia telah melewati fasa ‘pulih’ dan bersedia untuk berkahwin sekiranya ada rezeki dan mendapat pasangan yang tepat dan restu ibu bapa.