Anda tahu apa itu perangkap siber? Tidak dinafikan, dunia teknologi hari ini sememangnya memberi banyak kemudahan kepada pengguna. Sebagai contoh, hanya klik setiap barangan yang dikehendaki dan setiap pembelian tersebut akan sampai di rumah masing-masing tanpa perlu bersusah payah untuk keluar serta bersesak. Lebih-lebih lagi ketika tempoh penularan wabak Covid-19 ini.
Selain itu, pengguna teknologi ini juga lebih banyak meluangkan masa di ruang siber ketika ini untuk melakukan pelbagai perkara termasuklah rutin harian di pejabat juga dibuat secara maya. Namun, tempoh masa yang lebih panjang di ruang siber juga sebenarnya meningkatkan risiko serangan siber kepada pengguna.
Menurut Harian Metro, masih ada pengguna siber di luar sana yang terjebak dengan perangkap siber biarpun sudah bermacam pendedahan yang dilaksanakan pihak berkuasa bagi meningkatkan kesedaran pengguna.
#itmetro Pada tahun lalu, sebanyak 41 peratus serangan ransomware disasarkan kepada OT yang masih dilihat kurang sistem keselamatan siber serta menjadi sasaran mudah buat penyerang.
— Harian Metro (@hmetromy) October 12, 2021
Serangan ini tidak tertumpu kepada satu bentuk saja, malah membabitkan pelbagai ancaman termasuk serangan terhadap perkakas Internet Kebendaan atau ‘IoT’ yang digunakan oleh pengguna.
Amaran berhubung peningkatan mendadak serangan terhadap sistem IoT dan perkakas perisian Sistem Operasi Teknologi (OT) telah dikeluarkan oleh Agensi Keselamatan Siber dan Infrastruktur (Cisa) Amerika Syarikat (AS).
Pada tahun lalu, sebanyak 41 peratus serangan ransomware disasarkan kepada OT yang masih dilihat kurang sistem keselamatan siber serta menjadi sasaran mudah buat penyerang.
Secara ringkasnya, Cisa menjelaskan bahawa OT kekurangan ‘pertahanan siber’ berbanding segmen lain, sekali gus ia memudahkan penyerang untuk menceroboh masuk dan memanipulasi keadaan tersebut.
Pengkaji keselamatan siber di seluruh dunia juga bersetuju bahawa perkakas tersebut tidak menerima kemas kini terbaharu untuk menghadapi serangan siber yang sering berubah setiap hari.
Kerentanan perkakas tersebut menjadi mangsa mudah buat penyerang. Suatu langkah drastik oleh penyedia perkakas perlu dilaksanakan dan ini termasuklah kemas kini secara semasa.
Masa depan keselamatan siber kini banyak bergantung kepada keupayaan Kecerdasan Buatan (AI) di samping pengawasan oleh manusia.
Beberapa firma terkemuka dalam bidang keselamatan siber ini turut berpandangan bahawa teknologi AI yang lebih matang pada masa depan mampu menjadi ‘ejen’ keselamatan siber. Ianya sekali gus menjadi benteng pertahanan pertama menghadapi serangan.
Biarpun AI adalah satu bentuk teknologi pada masa depan, namun ia umpama ‘pisau dua mata’ dan mampu menjadi kerentanan yang utama dalam segmen keselamatan siber jika pengendali tidak bersedia secara keseluruhan berhubung penggunaan teknologi maju tersebut.
Oleh itu, pengawalan kepakaran manusia masih diperlukan untuk mengelakkan AI berkenaan dimanipulasi pihak tertentu, sekali gus menjadi punca utama kepada serangan siber.
Pendapat anda? Kongsi bersama kami di Facebook dan Telegram AmazingNara