Perkongsian daripada seorang individu ini di TikTok mungkin akan membuatkan para ibu bapa di luar sana untuk lebih memantau keadaan anak terutamanya bayi yang masih kecil.
Dalam perkongsian @ayishwafiy itu, dia memaklumkan anak perempuannya kerap mengalami sakit demam dan sehinggakan doktor menjadi pelik sebelum diminta untuk membuat rujukan pakar.
Setelah mendapatkan nasihat doktor pakar, anak perempuannya itu dilaporkan telah mengalami jangkitan virus RSV ataupun nama saintifiknya, Respiratory Syncytial Virus.
Virus itu menurut pakar perubatan boleh menyerang saluran pernafasan dan menyebabkan jangkitan paru-paru terutamanya buat kanak-kanak dan bayi yang berusia 2 tahun ke bawah.
Menurut doktor pakar yang ditemui individu ini, virus itu juga sedang aktif menyerang dan menjangkiti kanak-kanak.
Antara simptom-simptom yang dialami mereka yang dijangkiti virus RSV ini adalah seperti demam berlarutan, batuk berkahak, muntah, kesukaran bernafas, sakit telinga, dilihat letih, bunyi nafas berdehit dan hilang selera makan.
Ia boleh menjangkiti orang lain menerusi penyebaran melalui mata, hidung dan mulut. Pantau kesihatan anak anda agar sakit yang dialami si kecil tidak melarat dan menjadi semakin serius.