Peserta misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) merangkap selebriti tanah air, Heliza Helmi, mendedahkan detik cemas yang dialami ketika kapal flotila mereka dipintas tentera laut Israel di perairan antarabangsa pada malam Rabu.
Menurut Heliza, kejadian berlaku ketika kapal flotila Alma yang dinaikinya sudah pun merentasi kawasan zon merah dalam usaha menghantar bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza. Namun, mereka tetap berdepan dengan ugutan dan halangan daripada rejim Zionis.
Tambahnya, anak kapal Alma turut disoal siasat oleh anggota tentera laut Israel selepas pemintasan tersebut.
Ketua kami (kapten kapal flotilla) memberitahu bahawa kami hanya membawa bantuan kemanusiaan… Kami hanya membawa makanan dan bekalan bantuan.
Dia turut menegaskan kepada anggota rejim Israel bahawa genosid ini telah berlaku terlalu lama dan ramai yang telah terbunuh akibat perbuatan kamu (Israel). Lebih kurang begitulah maksudnya.
Heliza menambah, kapten kapal bertegas supaya bantuan itu diserahkan secara terus tanpa sebarang helah, namun tentera Israel memberi syarat agar bantuan dihantar ke pangkalan mereka.
Kemudian anggota rejim Israel memaklumkan kepada kami, kalau betul mahu meneruskan perjalanan, kamu hantarkan sahaja ke pangkalan kami, nanti kami di sini akan uruskan.
Sudah tentu kami tidak bersetuju. Ketika itu datang pula satu halangan sangat besar. Pada waktu itu, langsung tiada capaian internet.
Heliza turut berkongsi rasa bimbang apabila mereka terputus komunikasi.
Saya terdetik dalam hati, Ya ALLAH SWT, bagaimana hendak menghantar maklumat ini? Bagaimana hendak menyampaikannya? Hanya ALLAH SWT yang Maha Mengetahui.
Saya sendiri tidak tahu sama ada rakan-rakan lain mempunyai capaian internet atau tidak.
Misi GSF yang disertai aktivis kemanusiaan antarabangsa termasuk Malaysia membawa bekalan makanan serta bantuan perubatan untuk rakyat Gaza yang kini terus menderita akibat kepungan rejim Israel.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.