Sejak malam tadi, hangat diperkatakan di media sosial tentang keselamatan permainan di tapak pesta ria di Eco Grandeur, Puncak Alam.
Ia selepas tiga individu termasuk seorang kanak-kanak tercampak daripada salah satu permainan digelar ‘sotong ride’ hingga menyebabkan mereka cedera.
Rakaman ketika kejadian itu berlaku tular di TikTok dan kemudian tersebar di platform media sosial yang lain menunjukkan tiga mangsa jauh tercampak dari tapak permainan tersebut.
Susulan insiden malang tersebut, seorang individu dikenali sebagai Saiful Azif, dipercayai ahli keluarga kepada dua mangsa telah memuat naik satu hantaran di TikTok menunjukkan keadaan adiknya.
Menerusi hantaran itu, seorang kanak-kanak lelaki dilihat berada di dalam ambulan dan mempunyai kesan calar serta luka kecil di wajah dan anggota badan.
Saiful turut memaklumkan bahawa adik lelaki serta mangsa perempuan yang merupakan kakaknya dalam keadaan yang baik.
Bukan itu sahaja yang dikongsi oleh Saiful, dia turut berkongsi beberapa gambar menunjukkan keadaan permainan ‘sotong ride’ yang dinaiki tiga mangsa.
Berdasarkan gambar tersebut, permainan itu dilihat tidak mempunyai ciri keselamatan ‘lock ride’ yang baik kerana hanya menggunakan tali yang diikat pada besi penghadang tempat duduk.
Besi permainan itu juga turut dilihat sudah berkarat dan seperti sudah lama tidak diselenggara oleh pihak yang sepatutnya. Perkongsian Saiful itu meraih perhatian ramai warganet di TikTok dan rata-ratanya meluahkan simpati mereka terhadap mangsa.
Sesetengah daripada mereka mencadangkan agar Saiful mengambil tindakan undang-undang terhadap pengendali tapak pesta ria itu kerana didakwa mengabaikan ciri keselamatan terhadap pengunjung.