Pendedahan pelakon remaja, Puteri Balqis baru-baru ini yang mendakwa dia pernah dicabul bapa sendiri mengejutkan ramai pihak.
Ramai netizen memaki bapa pelakon mesra dipanggil Aqish itu kerana tergamak melakukan perbuatan keji sebegitu ketika anaknya baru 5 tahun.
Namun, segelintir pihak mengkritik tindakan Aqish kerana dianggap membuka aib darah dagingnya sendiri di media sosial sehingga menjadi tular satu Malaysia.
Terbaru, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad juga berfikiran sama apabila beliau berkata Aqish tidak sepatutnya membuka aib dan mendedahkan hal itu kepada orang ramai.
Menurutnya, pelakon itu seharusnya membuat laporan polis bagi membolehkan dia mendapat pembelaan undang-undang selain melindunginya daripada sebarang ancaman di masa akan datang.
Sepatutnya dalam Islam, dia lebih pentingkan kepada menutup aib sendiri. Sepatutnya, gangguan seperti itu tak perlu didedahkan kepada orang ramai.”
Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun dilaporkan bersedia memanggil pelakon berusia 15 tahun tersebut jika ada laporan dibuat.
Jelas Rina, jika dakwaan tersebut benar-benar berlaku pihaknya akan memanggil Aqish dan bapanya untuk disiasat. Pihaknya juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas mengikut Akta Kanak-Kanak 2001.