Insiden menyayat hati yang berlaku di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli pada awal pagi Ahad minggu lalu terus menjadi topik bualan hangat di kalangan netizen apabila seekor anak gajah jantan maut digilis lori muatan ayam.
Kemalangan tragis di Kilometer 80 itu bukan sahaja mengundang simpati orang ramai, malah mencetus perdebatan hangat di media sosial.
Kenapa tak ada lampu jalan yang dipasang?
Antara yang menjadi bualan utama netizen adalah ketiadaan lampu jalan di laluan berkenaan, yang dianggap sebagai salah satu punca utama tragedi itu berlaku.
Namun begitu, seorang pengguna di Threads, @noorhafizkamsani tampil berkongsi pandangan yang membuka mata ramai.
Bukan sebab lupa pasang. Laluan ni bukan macam highway biasa. Ia rentas hutan simpan, kawasan tadahan air dan tanah rizab kerajaan.
Boleh jejaskan ekosistem haiwan liar
Tambahnya lagi, pemasangan lampu jalan di kawasan tersebut boleh menjejaskan ekosistem haiwan liar, terutamanya haiwan yang aktif pada waktu malam seperti tapir, harimau, dan gajah.
Cahaya buatan boleh ganggu sistem biologi haiwan nocturnal. Mereka boleh jadi stres, sesat atau agresif. Itu antara sebab kenapa kawasan macam ni tak dipasang lampu.
Penjelasan tersebut turut disokong oleh ramai pengguna lain yang percaya bahawa kesedaran terhadap keseimbangan antara pembangunan dan alam sekitar masih rendah dalam kalangan masyarakat.
Walaupun sedih dengan kehilangan nyawa haiwan comel itu, ramai berharap insiden ini dapat membuka mata semua pihak dan bukan sahaja tentang keselamatan di jalan raya, tetapi juga mengenai kepentingan memelihara habitat semula jadi haiwan liar.