Umpama seperti bermain bola sepak tapi bola tiada, begitulah reaksi Jep Sepahtu apabila rancangan Sepahtu Reunion Live bakal kembali namun kali ini tanpa kehadiran penonton akibat perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula sejak rabu lalu.
Setelah sekian lama berehat, program kegemaran penonton itu bakal tampil dengan musim terbaru namun masih mengekalkan barisan pelawak yang sama seperti Jep, Syuk, Rahim, Shuib, Ilya dan ramai lagi tetamu jemputan yang bertindak sebagai cameo dalam setiap siri.
Ketika ditanyakan mengenai berita tersebut, bintang utama Sepahtu Reunion Live, Jep memberitahu bahawa perkara itu secara tidak langsung telah memberikan pengalaman baru buat dirinya sepanjang bergelar pelawak.
Dia berkongsi perasaan teruja tersebut menerusi ruangan Instagramnya baru-baru ini. Jep juga dilihat rajin melayan soalan peminat di ruangan komen.
Dalam pada itu, Jep sempat menjelaskan bahawa membuat lawak ketika ketiadaan penonton semasa sesi rakaman secara langsung adalah berbeza jika ianya dirakam sebelum ditayangkan.
Para peminat dilihat turut mendoakan serta tampil memberikan kata-kata semangat buat semua kru serta rakan artis yang terlibat dalam penggambaran program tersebut.
Sepahtu Reunion Live bakal bersiaran setiap Khamis di saluran berbayar Astro Warna dan juga Astro Warna HD (127 dan 104) jam 9.00 malam.