Penyanyi dan juga pelakon, Andi Bernadee dilaporkan turut terkena tempias daripada kontroversi yang tercetus antara Baby Shima dan personaliti media sosial, Zhariff yang merupakan seorang Orang Kelainan Upaya (OKU).
Ini berikutan video yang memaparkan dia menyentuh hidung menggunakan kaki dikatakan telah mengguris hati golongan istimewa ini.
Dia kemudiannya telah menerima pelbagai kritikan yang menghentam dirinya meskipun Andi mendakwa video tersebut sama sekali tidak mempunyai kaitan dengan golongan OKU.
“Ketika saya muat naik video tersebut, tiada kena mengena langsung dengan video Baby Shima dan saya masih boleh bezakan mana yang baik dan buruk. Saya mohon maaf kepada pihak yang terbabit dalam isu ini terutamanya abang Zhariff. Harap perkara sebegini takkan berulang lagi.”
Pelakon drama Melastik Ke Hatimu ini dalam pada itu mengakui dia turut berasa marah selepas melihat video Baby Shima itu.
Dia dalam pada itu sempat menitipkan pesanan agar orang ramai lebih berhati-hati dalam menghasilkan kandungan video atau gambar agar tidak menyinggung perasaan mana-mana pihak.
Semalam, kecoh di media sosial apabila penyanyi Baby Shima didakwa telah mempersenda dengan meniru pergerakan Zhariff yang dilahirkan tanpa tangan menerusi sebuah video yang dimuat naik di aplikasi TikTok.
Menyedari kesilapannya itu, Baby Shima kemudian tampil memohon maaf atas kesilapan dan turut memadam video berkenaan daripada media sosialnya.