Melalui laporan Malaysia Kini, seorang individu yang merupakan kerabat Diraja Pahang telah ditahan oleh pihak polis susulan sengaja menikam seorang lelaki di sebuah kelab malam di Kuantan bula lalu.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuantan, Wan Zahari Wan Busu, beliau mengesahkan kejadian tersebut tetapi enggan mendedahkan identiti kerabat diraja berkenaan.
Sekali lagi kerabat diraja Pahang tikam orang awam?
Difahamkan dari laporan polis, kejadian berlaku pada 8 Mei dan pengadu yang berusia 30 tahun tahun mendakwa dia diajak oleh rakannya untuk ke kelab malam tersebut susulan satu kejadian terdahulu di sebuah pusat hiburan lain, di mana dia dikatakan melanggar kerabat diraja berkenaan sebanyak dua kali.
Pelbagai perkara telah disuruh oleh pembantu kerabat diraja itu, seperti memberi ‘angpau’ berisi RM1200 dan mohon maaf kepada kerabat diraja itu kerana telah melanggarnya.
Dipukul dengan jug kaca, ditikam guna pisau lipat
Sewaktu bertemu dengan kerabat diraja tersebut, beliau sememangnya berasa marah dan memberi isyarat kepada pengawal peribadinya, yang kemudian memukul kepala pengadu dengan jug minuman kaca.
Lebih teruk, kerabat berkenaan mengeluarkan sebilah pisau lipat, lalu menikam mangsa di bahagian punggung, sebelum kakitangan kelab menghalangnya serta pegawai peribadinya.
Mangsa difahamkan alami kecedaraan yang teruk, malah kehilangan banyak darah akibat ditikam.
Kes tahun lalu: orang awam ditikam & ditembak oleh anak saudara Sultan Pahang
Sekadar info, tahun lalu tular satu kes melibatkan kerabat diraja Pahang, di mana didakwa telah menyerang seorang pekerja pembinaan jalan, Awang Alias dengan menikam serta menembaknya.
Setelah siasatan dilakukan, seorang kerabat diraja Pahang, Tengku Eddie Akasya Tengku Abd Rahman (anak saudara Sultan Pahang) bersama empat individu lain didakwa di Mahkamah Majistret Kuantan kerana mencederakan seorang lelaki menggunakan pisau.