Pelakon remaja, Qistina Raisah khabarnya sedang mengintai peluang untuk melebarkan sayap ke dalam dunia peragaan apabila dia dilihat hadir untuk uji bakat menjadi model ‘catwalk’.
Dalam video yang dimuat naik di TikTok itu, Qistina memakai baju berwarna putih dan jeans kasual sedang sibuk mendaftar dalam uji bakat tersebut.
Difahamkan, ibu pelakon drama Sekali Aku Bahagia itu yang merakam momen-momen sepanjang Qistina berada di sesi pemilihan model yang tidak diketahui secara lanjut penganjuran oleh pihak mana.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata memuji kecantikan Qistina yang terlihat matang meskipun baru berusia 14 tahun selain ibunya yang sentiasa menyokong hobi dan minat anaknya itu.
Namun, ada juga yang beranggapan ia seakan-akan ‘child grooming’ dan penampilan Qistina yang begitu seksi, tidak sepadan dengan umurnya yang baru hendak meningkat dewasa.
Terdahulu, nama Qistina menjadi bualan ramai apabila dia dikatakan ‘berperang mulut’ dengan pelakon remaja lain iaitu Puteri Balqis gara-gara tidak puas hati dengan sikap dan perangai yang ditunjukkan ketika berada di set penggambaran.