Seorang pembaca telah menghantar kepada kami tentang satu kisah dia dipaksa meminta derma oleh pihak sekolah untuk pembinaan sebuah velodrom pada akhir tahun 1980-an. Ikuti kisahnya:
“Melihat kanak-kanak meminta derma setiap kali bersiar-siar di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur mengingatkan aku kepada satu kisah zaman sekolah dahulu.
Waktu itu aku berada di darjah tiga, berusia sembilan tahun. Sebenarnya aku pelajar yang datang dari keluarga miskin dan bersekolah di pekan kecil negeri Perak.
Bapaku berniaga di pasar-pasar setelah bersara sebagai penjawat awam. Dengan anak seramai lima orang bapaku berusaha keras untuk mencari rezeki buat keluarga. Jadi wang, walau hanya bernilai RM 20.00 adalah sangat besar nilainya waktu itu bagi kami. Dengan RM 20.00 itu, boleh juga bapaku membeli lauk untuk makan selama dua hari.
Kenapa aku sebut RM 20.00? Kerana itulah jumlah yang aku perlu cari setelah diwajibkan oleh pihak sekolah. Pada masa itu, wang sebanyak itu diperlukan dari setiap murid sebagai sumbangan kepada pembinaan sebuah stadium untuk penunggang basikal iaitu Velodrom Rakyat di Ipoh.
Kata guruku, buatlah apa saja, pergilah minta derma sepuluh sen di setiap rumah orang sampai cukup RM 20.00 pun boleh. Janji pada masa yang ditetapkan iaitu selepas sebulan, kami perlu menyerahkan RM 20.00 tersebut pada pihak sekolah.
Kami diberi satu kad warna kuning mencatatkan jumlah yang kami terima dari setiap rumah, sehingga cukup jumlah yang diwajibkan.
Maka kawan-kawanku waktu itu berusaha meminta derma tersebut dari rumah ke rumah, termasuklah aku. Ada yang siap disuruh menyapu halaman, dan membuang sampah di rumah orang untuk mendapat upah RM 0.30. Bayangkan, perlu bekerja di berapa rumah lagi untuk mencukupkan RM 20.00?
Namun usahaku tidak membuahkan hasil yang diharapkan kerana ramai surirumah sudah mengagak yang apabila kanak-kanak datang ke rumah mereka, ia ialah untuk meminta derma.
Aku masih ingat dihalau dari halaman rumah seorang wanita sewaktu menyorong basikalku di halaman rumahnya sambil tanganku memegang kad kuning.
Tak ada duit. Senang-senang kamu semua nak minta duit orang. Ingat orang cop duit, kah? Pergi. Pergi.
Sekali sudah dimarah begitu, aku memang jadi serik untuk meminta derma dari orang ramai lagi. Lalu aku diamkan saja, datang ke sekolah dan menjalani kehidupan kanak-kanak seperti biasa.
Aku tidak memberitahu tentang dimarah wanita kerana meminta derma untuk velodrom kepada sesiapa. Dan tibalah waktu yang dijanjikan, guruku menuntut wang RM 20.00 tersebut.
Aku beritahu guru yang aku langsung tak berjaya mengutip wang derma tersebut dan aku memulangkan kad kuning yang kosong tanpa tulisan. Sebenarnya, ramai murid tidak dapat mengutip sepenuhnya wang sebanyak itu.
Ada yang menambah wang saku sendiri, dan ada yang berasal dari keluarga berada meminta terus dari ibu bapa masing-masing, jadi sudah cukup RM 20.00 tersebut.
Guruku seakan marah dan memberitahu, sekiranya tidak cukup jumlah tersebut, kami perlu menambah wang kami sendiri.
Aku kembali ke rumah dan memberitahu pada bapaku. Ketika ini, kakakku yang berada di darjah lima juga disuruh cikgu untuk mendapatkan RM 20.00 tersebut kerana dia juga tidak berjaya mengutipnya.
Jadi bapaku pula yang terpaksa memberikan kami RM 20.00 tiap seorang untuk diberikan pada sekolah untuk pembinaan velodrom rakyat yang tidak ada apa-apa kepentingan dalam kehidupan kami yang tetap miskin. Waktu itu, wang persaraan bapaku kurang dari RM 400 sebulan.
Tapi naluri dan pengorbanan seorang bapa tiada tandingnya. Kerana tidak mahu anak-anak susah, bapaku beri juga RM 40.00 tersebut kepada kami berdua untuk diserahkan pada pihak sekolah, yang merupakan 10 peratus dari jumlah pencen bulanan bapa.
Dalam hati aku menyumpah velodrom rakyat tersebut yang menyusahkan bapaku.
Kini hampir 30 tahun berlalu. Bapaku pun sudah tiada.
Aku sering mendapatkan maklumat terkini mengenai velodrom tersebut. Entah kenapa, keadaan velodrom itu sentiasa menyedihkan. Ia asyik rosak, dan langsung tak dapat digunakan oleh mana-mana ahli sukan.
Walaupun mendapat suntikan dana kerajaan negeri dan kementerian, kerja-kerja pembaikan sentiasa gagal. Tahun demi tahun, keadaannya masih sama, dengan trek yang tidak dapat digunakan, kayu menjadi reput dan rosak dengan mudah.
Boleh dikatakan ia hanya satu projek gajah putih yang sentiasa menelan belanja, tidak membawa faedah kepada sesiapa.
Aku sering beritahu diri aku, mungkin ia berlaku kerana sumpahan aku dulu. Allah maha adil.”
-anak bapak