Haiwan kecil seperti semut sangatlah tidak disukai penghuni rumah kerana fitrahnya suka ‘berkampung’ di setiap sudut rumah. Tambah parah, haiwan kecil ini juga suka bersarang dan berkerumun pada barang-barang dan perkakas elektrik rumah.
Pernahkah anda mengalami situasi barang elektrik dikerumuni semu sehingga menyebabkan peralatan rosak? Puas dihalau, guna racun dan bermacam lagi, namun masih degil serta tidak pernah serik.
Kadang-kadang bau semut juga boleh membuatkan penghuni rumah pening dan sakit kepala. Apa yang membuatkan haiwan kecil ini sangat gemar berkampung dalam barangan elektrik? Ayuh ikuti penjelasan yang menarik oleh Public Health Malaysia (PHM) di laman Facebook.
Rupa-rupanya haiwan kecil semut ini memang sukakan gelombang elektrik. Apabila semut mendekati gelombang elektrik, renjatan itu akan membunuh semut serta merta lalu membebaskan sejenis bahan kimia pheromones.
Disebabkan itu, ia akan menarik lebih banyak semut untuk datang dan lebih banyak semut akan mati. Apabila terlalu banyak bangkai semut, barang elektrik akan cepat rosak dan menyebabkan kerugian.
Untuk mencegah semut dari bersarang dalam perkakas elektrik, anda harus pastikan ruang barangan elektrik dirapatkan. Seterusnya, letakkan bahan penghalau atau ubat racun semut di kotak elektrik.
Bagi penghuni rumah, anda perlu sentiasa prihatin jika ternampak semut mmula berkumpul di barangan elektrik. Paling penting, lakukan pembersihan dengan berkala.