Bagi ibu bapa yang kedua-duanya bekerja kini mampu menarik nafas lega setelah kerajaan membenarkan baki 6,696 Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) di seluruh negara beroperasi semula.
Dalam sidang media harian perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihak pengurusan taska terbabit harus merujuk prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Kita harap dengan pembukaan taska ini tidak timbul lagi isu kedua-dua ibu bapa yang bekerja tidak boleh bekerja kerana perlu jaga anak di rumah sebagainya.
Menurutnya kerajaan bersetuju selepas KPWKM membentangkan SOP yang dianggap lengkap dan kemas seperti yang dicadangkan Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara.
Mengenai cadangan pembukaan semula operasi tabika dan pra sekolah yang dicadangkan Julai nanti, Ismail Sabri berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dipertanggungjawabkan untuk menyelaras SOP semua taman bimbingan berkenaan.
“Kita akan tunggu mereka bentang SOP lengkap, kalau boleh buka Julai kita benarkan tetapi perlu lihat SOP itu dahulu.”
Jom ‘Like’ dan ‘Follow’ Facebook & Twitter Amazingnara untuk mendapatkan berita sensasi dan terkini di seluruh dunia.