Dikenali sebagai salah satu selebriti yang mempunyai kehidupan yang agak mewah dan memanjakan anak-anaknya dengan barangan yang mahal, Rozita Che Wan sering mendapat kritikan daripada netizen.
Kata mereka, jangan terlalu memberikan anak-anak kemewahan kerana jika ada kesusahan hidup di masa hadapan belum tentu mereka boleh menerima hakikatnya.
Walaubagaimanapun, jelas Che Ta setiap ibu bapa mempunyai cara tersendiri untuk membuat anak-anak mereka gembira, cuma apabila bergelar selebriti perkara itu diperbesar-besarkan oleh sesetengah pihak.
Semua orang sayang anak dan akan buat apa sahaja demi menggembirakan buah hati mereka. Sama juga dengan saya. Saya akan buat apa yang dirasa boleh gembirakan mereka walau hanya dengan bawa bercuti, anjurkan majlis hari lahir dan hadiahkan mereka sebagai ganjaran atas kejayaan yang diperoleh anak-anak.
Bagi saya, semua orang akan mewahkan anak-anak dengan cara sendiri. Bezanya, disebabkan saya seorang selebriti dan setiap tindak-tanduk menjadi perhatian, maka perkara ini menjadi isu besar. Walhal, ia perkara biasa. Cuma masyarakat di luar sana yang terlalu ‘mengambil berat’ akan perihal kami sekeluarga.
Sekarang saya amalkan sikap tidak mahu terlalu berkongsi tentang apa yang saya berikan kepada anak-anak. Lebih-lebih lagi tentang harga seperti rantai Aaisyah. Kalau beritahu harga, nanti orang akan mengata dan tuduh saya menunjuk pula. Jadi, biarlah saya diamkan sahaja sebab itu lebih baik.
Biarlah Che Ta dengan caranya tersendiri, lagipun beliau mampu dan lebih tahu apa yang terbaik buat anak-anaknya. Semoga Che Ta sekeluarga dilimpahi dengan kebahagiaan.