Pelakon dan pelawak, Along Cham telah mengesahkan bakal menfailkan lafaz cerai taklik terhadap isterinya, Afreena Suhaimi di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Sepang, Selangor dalam masa yang terdekat.
Menurut Astro Gempak, Along atau nama sebenarnya Muhammad Nizamudin Ahmad, 42, memberitahu tindakan itu diambil selepas isterinya didakwa telah melanggar tiga perkara yang dipersetujui sebelum ini pada tahun lalu.
Difahamkan, antara taklik yang dilanggar Afreena ialah tidak patuh dan membelakangkan suami.
Ya saya akan failkan dan pengesahan lafaz taklik terhadap isteri di Mahkamah Rendah Syariah Sepang sebab alamat rumah saya di bawah mukim Sepang.
Memang mengejutkan semua dan semua ibarat drama yang ada ‘plot twist’. Jadi, ini tindakan pertama saya lakukan selepas keluar dari ‘madrasah’ (penjara) semalam.
Sebelum ke mahkamah untuk failkan pengesahan, saya kena dapatkan beberapa dokumen penting seperti sijil nikah termasuk kad pengenalan saya yang masih dalam simpanan ‘mak lampir’ (Afreena).
Pelawak itu memaklumkan isterinya telah melanggar taklik pada beberapa bulan yang lalu iaitu pada tahun lepas.
Dia langgar taklik itu beberapa bulan lepas. Buat masa sekarang saya tak boleh nak cerita panjang sebab semuanya masih belum selesai.
Dalam pada itu, dia turut mendedahkan dia ingin menfailkan perkara tersebut pada 16 Disember yang lalu namun tidak terjadi apabila dia ditahan oleh pihak polis akibat memiliki dadah pada 14 Disember yang lalu.
Dia juga tidak menafikan wujudnya orang ketiga yang menjadi punca masalah rumah tangganya.
Saya sampai tahap sudah habis sayang rumah tangga saya. Saya juga sudah beri peluang dan mengejutkan, dia tetap langgar. Saya tak sangka.
Mengenai kecurangan isteri saya tak boleh buat huraian, tapi orang ketiga memang wujud. Cuma, ini bukan ke arah curang. Banyak kali dan macam-macam dia buat dekat belakang saya.
Sebelum ini, media mendedahkan Along Cham bakal membuat pengesahan lafaz taklik pada pagi Selasa.