Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Ah Design Communication Sdn Bhd untuk menyita aset milik usahawan terkenal Dato Seri Vida di Ipoh, Perak.
Menurut laporan, perlaksanaan writ penyitaan dan penjualan telah dilakukan sekitar jam 9 pagi hari ini di banglo Vida di Meru. Tindakan sita dibuat selepas mahkamah mendapati Vida gagal memberi sebarang respon untuk membayar ganti rugi pada tahun 2023.
Difahamkan, usawahan berusia 53 tahun itu gagal menjelaskan bayaran baki tunggakan kepada syarikat kontraktor pembinaan itu sebanyak RM1,060,285 pada tahun 2018.
Syarikat terbabit telah bekerjasama dengan Vida untuk melakukan pengubahsuaian bangunan pejabatnya, Vida All Star Studio yang bertempat di Elite Industrial Park, Seksyen 33, Shah Alam.
Barang-barang yang disita adalah keseluruhan barangan milik Vida termasuklah empat buah kereta iaitu dua Toyota Vellfire, satu Toyota Grand Hiace dan BMW X7.
Peguam plaintif, Samir Zainal berkata sekiranya Vida dapat membayar ganti rugi tersebut dalam tempoh dua minggu, proses lelongan barangan yang disita akan dihentikan.
Tarikh lelongan sudah ditetapkan pada 9 Disember depan dan barangan yang disita merupakan keseluruhan bangunan di rumahnya dan empat buah kereta itu. Dalam tempoh dua minggu sebarang barangan serta kereta tidak dibenarkan dibawa keluar daripada rumahnya.
Wakil syarikat Ah Design Communication, Mohammad Taufik berkata dia terpaksa ambil tindakan menuntut semula bayaran dengan cara menyita kerana usahawan itu tidak memberi kerjasama sejak tuntutan dibuat pada tahun 2018.
Kami sudah beberapa kali cuba berbincang dan pernah berurusan dengan peguam untuk penyelesaian tapi tiada maklum balas, hanya senyap. Perbincangan demi perbincangan, tapi gagal.
Usahawan itu difahamkan tiada di kediamannya dan dipercayai berada di China ketika pihak terbabit hadir untuk proses menyita.