Di sebalik kekalutan akibat tragedi banjir di beberapa buah negeri di Semenanjung Malaysia, tular seketika sebuah video memaparkan penyanyi veteran, Zaiton Sameon yang menyanyikan lagu popularnya di atas rakit buatan sendiri di aplikasi TikTok.
Dia yang kelihatan tenang berakit sendirian sambil mendendangkan lagu Kabut Serangkai mawar dalam suasana banjir itu ternyata telah mencuri perhatian warga maya yang menontonnya.
Zaiton Sameon boleh lagi duk relaks main tiktok di tengah banjir pakai lagu dia sendiri Kabut Serangkai Mawar.. ?? pic.twitter.com/Up2Mc1NSEK
— Akaun Baru Alan? (@IniAlalalannn) December 18, 2021
Zaiton yang ditemui Kosmo Online berkata bahawa kawasan Klang, Selangor sudah lama tidak dilanda banjir yang dasyat seperti sekarang dan sempat menasihatkan agar orang ramai sentiasa berhati-hati dengan bencana alam yang tidak diduga itu.
Dia juga memaklumkan bahawa keadaan rumahnya masih bertakung dengan air banjir dan sempat menyelamatkan barang-barang penting.
Terkejut juga sebenarnya pukul 2 pagi malam tadi tiba-tiba rumah dinaiki air dan tengok, tiada elektrik. Lama Kak Ton tak main air (ketawa).
Air naik sampai paras paha tapi masih okey. Saya rakam video TikTok sebab tak nak orang tertekan dan sedih. Itu niat saya. Semuanya berlaku secara spontan.
Difahamkan, rakit yang dinaiki Zaiton dalam video tersebut merupakan buatan sendiri hasil ciptaan adik angkatnya yang bekerja sebagai perancang perkahwinan.
“Rakit buatan sendiri oleh Zul. Barang-barang pelamin tak pakai kita buat rakit. Jangan risau, air tak dalam tapi jangan tiru aksi ini. Keselamatan saya terjamin.” ujar Zaiton mengakhiri bicara.