Seorang wanita dari Petaling Jaya, Selangor berkongsi pengalamannya kehilangan wang simpanan dalam bank sebanyak RM14,360 dalam sebuah transaksi yang tidak diketahui.
Kata wanita yang dikenali sebagai Mia Jia Xin ini di Facebook, wangnya itu telah di’transfer’ hanya dalam tempoh seminit di luar pengetahuannya.
Cerita Jia Xin, dia ada menerima satu mesej yang memaklumkan bahawa satu transaksi DuitNow sebanyak RM9,000 telah dihantar kepada seseorang yang tidak dikenali.
Dan kemudian Jia Xin menerima mesej kedua yang memaklumkan mengenai had penghantaran wang untuk akaun banknya telah ditukar dan mesej ketiga yang menunjukkan sebuah transaksi wang sebanyak RM5,360 telah dilakukan kepada individu bernama Nasri Bin Ali.
Kebiasaannya, apabila sebarang transaksi dilakukan, pengguna perlu memasukkan nombor TAC bagi meneruskan sebarang penghantaran wang namun bagi kes ini, Jia Xin tidak perlu melakukan demikian.
Jia Xin kemudian menelefon pihak bank terbabit dan akan memaklumkan keputusan kes dalam tempoh dua minggu namun sehingga kini dia tidak menerima sebarang ‘update’ daripada pihak bertanggungjawab.
Dia juga tidak dijanjikan dengan pulangan wang meskipun transaksi tersebut dilakukan di luar pengetahuannya.
Tambahnya lagi, dia tidak memasuki sebarang laman web ‘phishing’ ataupun memuat naik sebarang Android Package Kits (APK) dan sebarang ‘software’ haram di telefon bimbitnya.