Jika dulu di awal kemunculan dalam dunia lakonan adalah kerana dia berasa selesa bergandingan dengan Nabila Razali, kini Ismail Izzani dilihat semakin serius untuk terlibat dalam pentas lakonan.
Menurut penyanyi muda ini, dia bersetuju untuk menerima dua tawaran berlakon sebelum ini selepas diberitahu akan bergandingan bersama pelantun lagu Peluang Kedua itu dalam drama tersebut.
“Awal-awal dulu saya berlakon sekadar untuk kutip pengalaman.. lebih-lebih lagi apabila mengetahui Nabila merupakan salah seorang pelakon dalam drama tersebut. Dia punca saya bersetuju! mungkin sebab dah saling kenal, jadi proses penggambaran itu berjalan lancar dan tidak berasa kekok. Tapi sekarang kena cabar diri untuk mencuba jika digandingkan dengan pelakon lain,”
Mengakui pengalaman berlakon dengan aktor lain merupakan suatu pengalaman yang baharu, Ismail Izzani masih berasa gementar dan merasai sedikit tekanan namun sedang mencuba untuk membiasakan diri.
Perkembangan terkini, dia kini sedang sibuk menjalani penggambaran drama Lelaki Lingkungan Cinta terbitan Zeel Production.Sebelum ini, Ismail dilihat membawakan watak agak penting dalam drama seperti Lelaki Kelas Sebelah dan Kebaya Kasut Kanvas.
Dalam pada masa yang sama, Ismail Izzani kini turut berusaha untuk mempelajari teknik berlakon dengan sahabat baiknya iaitu penyanyi Naim Daniel.
“Kalau ada rezeki dalam bidang ini saya terima saja dan akan terus belajar dari kesilapan. Saya mahu serius mencari ilmu lakonan. Alhamdullilah Naim banyak kongsi ilmu dan kami sering bertukar pandangan dan idea. Cuma harapan saya kini penonton akan menerima lakonan saya walaupun kelihatan agak kayu sedikit,” – Ismail Izzani
Sumber: mStar Online