Menyeludup heroin bernilai jutaan dolar dalam pakaian dalamnya tahun lalu, bekas pramugari Malindo Air, Zailee Zainal dipenjara di Australia.
Menurut Mahkamah Daerah Australia, Zailee dijatuhkan hukuman penjara selama sembilan tahun dan enam bulan. Bagaimanapun, beliau berpeluang dibebaskan selepas menjalani hukuman selama tiga tahun.
Kata Michael Cahill selaku Hakim Mahkamah Daerah, Zailee difahamkan layak diberi kelonggaran kerana beliau sangat memerlukan dana untuk membayar bil perubatan anak perempuannya yang semakin meningkat.
Keterangan kepada mahkamah mendapati Zailee ditawarkan A$6,500 (RM19,359) untuk menyeludup heroin dengan nilai kira-kira A$3 juta (RM8.9 juta) ke Australia.
Dedah pihak mahkamah lagi, Zailee khabarnya terdesak untuk mengumpulkan wang untuk membayar kos perubatan anaknya.
“Ada masa kita perlu belas kasihan dalam menjatuhkan hukuman. Anda merasa seolah-olah tidak punya pilihan lain selain melakukan jenayah,”
Rentetan kejadian, Zailee difahamkan menyesal atas perbuatannya lalu bertindak menulis surat permohonan maaf.
Selain itu, Mahkamah juga diberitahu bahawa Zailee terpaksa menjual brownies dan Tupperware untuk mencari wang tambahan sebelum ini.
Beliau yang lemah dan sanggup melakukan apa sahaja ketika itu didatangi kenalannya dan mula menawarkan pekerjaan itu sebagai pembawa ubat.
Untuk rekod, antara Oktober 2018 dan Januari 2019, Zailee dikatakan telah melakukan lapan perjalanan ke Australia, dan menyeludup lebih dari 4 kilogram heroin.
Sumber: Sinar Plus, Astro Awani, The Australian