Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyita barangan mewah bernilai kira-kira RM16 juta, termasuk jongkong emas, berlian, dan peralatan kasino, dalam siasatan berhubung penyelewengan dana sukuk pembinaan lebuh raya.
Memetik laporan Berita Harian, Bahagian Komunikasi Strategik SPRM menerusi satu kenyataan memaklumkan sitaan itu dilakukan selepas penggeledahan dijalankan di kediaman seorang individu bergelar Tan Sri di Bandar Tasik Selatan, Cheras, semalam.
Antara barangan yang disita adalah 84 beg mewah bernilai sekitar RM3 juta, 11 jam tangan berjenama yang dianggarkan bernilai RM1 juta, serta jongkong, syiling, dan patung emas yang berjumlah kira-kira RM3 juta.

Selain itu, berlian dan barangan kemas bernilai kira-kira RM4 juta dan satu set alatan kasino berjenama mewah yang dianggarkan bernilai RM150,000 turut disita.
SPRM turut menemui sebuah bilik rahsia kebal yang menjadi tempat simpanan senjata dan peluru, namun tiada sitaan dilakukan kerana senjata berkenaan didaftarkan atas nama syarikat keselamatan milik individu terbabit.
Dalam kenyataan itu, SPRM semalam telah mendapatkan bantuan daripada anggota pasukan taktikal Anti Corruption Tactical Squad (ACTS) untuk merakam keterangan Tan Sri terbabit. Ini kerana pihak berkuasa mengesyaki adanya bilik rahsia yang menyimpan senjata di kediaman tersebut.

gambar hiasan
SPRM mendapat maklumat terdapat bilik rahsia yang menyimpan barang berharga termasuk senjata yang berkaitan dengan siasatan penyelewengan dana sukuk pembinaan lebuh raya di kediaman individu ini.
Kehadiran pasukan ACTS adalah bertujuan menjaga keselamatan dan mengiringi pegawai serta barang-barang yang disita bagi dibawa pulang ke Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.
Dalam pada itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM iaitu Tan Sri Azam Baki mengesahkan bahawa keseluruhan penggeledahan dan sitaan yang dilakukan semalam bernilai kira-kira RM16 juta dan beliau tidak menolak kemungkinan bahawa lebih banyak sitaan akan dilakukan.