Selepas pulang membuat liputan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tempoh hari, seorang wartawan sebuah akhbar tempatan, Azrul Affandi Sobry kini disahkan positif COVID-19.
Menurut Azrul, sebelum dibawa ke wad Isolasi di Sungai Buloh pada pukul 11.30 malam tadi, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Langat tampil memaklumkan mengenai keputusan ujian saringan COVID-19 pada pukul 7 malam Ahad.
Dedahnya lagi, selepas sehari pulang dari Sabah iaitu pada 30 September lalu, beliau difahamkan mengalami simptom termasuk batuk dan sakit sendi.
“Saya menjalani kuarantin di rumah seorang diri. Pagi tadi, doktor membuat ujian tekanan darah, dan tekanan darah saya agak tinggi iaitu sekitar 150.Selepas itu, saya akan diminta membuat (imbasan) X-ray, dan akan ditentukan sama ada perlu dipindahkan ke wad (atau sebaliknya),” katanya.
Mengulas lanjut, Azrul yang terkenal dengan jolokan ‘Cikgu COVID’ menyifatkan dirinya masih tidak percaya dijangkiti wabak berkenaan.
“Hari-hari saya buat ‘live’ bercerita fasal COVID-19, data, statistik dan sebagainya. Saya buat ‘live’ tanpa henti selama lebih kurang tiga bulan. Jadi, ramai pengikut (Facebook) kenal saya sebagai ‘Cikgu COVID’. Itu yang saya tak percaya tiba-tiba orang yang mengajar fasal COVID-19, akhirnya kita yang kena,” Ujarnya.
Namun begitu, Azrul memaklumkan empat lagi rakan sekerjanya disahkan negatif COVID-19 selepas membuat ujian saringan.
Dalam pada itu, Media Prima Berhad dalam satu kenyataan mengesahkan seorang kakitangan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) dijangkiti COVID-19, dan kini sedang menerima rawatan di sebuah hospital kerajaan.
Tidak ketinggalan, pihaknya juga dikatakan sedang bekerjasama rapat dengan KKM, dan telah mengambil langkah-langah pencegahan bagi meminimakan potensi jangkitan kepada kakitangan lain.