Penyanyi sensasi, Nabila Razali mencipta fenomena luar biasa menerusi lagu Peluang Kedua. Ternyata Nabila seorang penyanyi yang bijak memilih karya untuk dinyanyikan, seterusnya dikongsikan kepada peminat dengan mengeluarkan single terbaharu berjudul Putus.
Nabila atau nama lengkapnya, Nur Nabila Mohd. Razali menulis lirik lagu itu sendiri bersama komposer dari seberang, Erwin Purnama. Putus menjadi bukti bahawa Nabila bukan seorang penyanyi ‘one hit wonder’.
Keberadaan Nabila, 29, di dalam industri pasti akan memberikan lebih banyak lagi warna menarik kepada sesiapa yang mengikuti ruang kerjayanya.
Biarpun bukanlah berstatus ‘vocal powerhouse’, namun penyanyi lagu Pematah Hati itu mahir dari segi sebutan dan kejelasan vokal, dia sentiasa melunaskan tanggungjawab dengan cermat dan cemerlang.
Putus berkisahkan tentang kehilangan orang tersayang yang sudah berpaling tadah. Lagu itu bersesuaian dengan ton suara Nabila yang boleh disifatkan semakin hari, semakin selesa menyatu dalam irama balada.
Nabila bukan sekadar penyanyi, dia juga mampu menggubah atau menulis lagu dan telah dibuktikan dengan baik apabila turut mengambil peranan sebagai penulis lirik Putus.
Tambah lagi, dia terbuka bekerjasama dengan komposer selain daripada Hael Husaini yang sebelum ini bertanggungjawab melahirkan beberapa lagu hitnya.