Biarpun diuji dengan pelbagai ujian, namun penceramah dan pendakwah bebas, Ustaz Ebit Lew khabarnya dilihat tetap kuat semangat dan meneruskan perjuangannya meskipun baru-baru ini gempar apabila salah sebuah cawangan pasar raya miliknya dipecah masuk oleh individu tidak bertanggungjawab.
Terbaru, Ebit memaklumkan dia bakal membuka 30 lagi cawangan Elews Mart yang dimilikinya itu sebelum menjelang hujung tahun ini.
Dalam pada itu, seperti biasa, Ebit difahamkan tetap menyeru orang ramai untuk mendoakan agar perancangannya itu dipermudahkan oleh Allah SWT.
Doakan ye nak buka lagi 30 cawangan Elewsmart sebelum hujung tahun. Semoga menjadi asbab kebaikan.
— Ustaz Ebit Lew (@Ebitlew_) September 5, 2020
“Doakan ya nak buka lagi 30 cawangan Elewsmart sebelum hujung tahun, semoga menjadi asbab kebaikan.”
Melihat pada ruangan balas, rata-rata pengikutnya di laman berkenaan seakan teruja dengan berita itu. Malah tidak ketinggalan, ramai juga yang mendoakan agar urusan perniagaan Ebit memperoleh kebaikan dan dipermudahkan oleh Allah SWT.
Tweet yang mendapat puluhan tanda suka itu dikatakan tidak putus-putus mendapat respon positif daripada peminatnya. Malah masih ramai yang tetap memanjatkan doa agar individu yang bertindak memecah masuk pasar raya milik pendakwah itu dahulu segera diberikan hidayah.
Sekadar informasi, Ebit mula berkongsi berita mengenai pembukaan pasar rayanya pada sekitar awal Jun lalu. Sehingga kini, sambutannya amat memberangsangkan kerana barangan di premis tersebut dikhabarkan lebih murah berbanding tempat lain.