Segala teka-teki mengenai status perkahwinan pasangan selebriti, Rashidi Ishak dan Vanidah Imran terjawab apabila aktor itu mengakui mereka sudah sah bercerai pada 9 Ogos 2018 selepas 17 tahun bergelar suami isteri.
Pendedahan itu dibuat oleh Rashidi sendiri menerusi akaun Instagramnya malam tadi. Katanya, beliau terpaksa merahsiakan berita itu kerana ingin menjaga privasi dan menghormati keluarga kedua-dua belah pihak.
Rashidi turut mengakui kelemahannya sebagai ketua keluarga dalam memimpin rumah tangga yang dibina antara punca mereka bercerai.
Pasangan Rashidi dan Vanidah berkahwin pada 1 Oktober 2000 dan dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Mikhail Imram dan Maryam Rashika.
Sejujurnya, Shidi dan Vee antara pasangan selebriti yang sering dijadikan contoh buat orang ramai diluar sana. Sering sahaja tampil bahagia dan serasi bersama. Apa-apa pun, takdir menentukan segalanya, jodoh mereka tidak lama. Semoga kekal tabah dan dapat kekalkan hubungan yang baik selamanya.