Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, mengesahkan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan membuka semula kertas siasatan kes kematian pelajar tahfiz, Allahyarham Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman.
Kertas siasatan lengkap tapi DPP klasifikasi sebagai NFA
Allahyarham yang dijumpai di tandas di sebuah sekolah tahfiz di Kok Lanas pada Disember 2013 itu dipercayai dibunuh dan Saifuddin memaklumkan perkara itu ketika menggulung perbahasan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) bagi kementeriannya di Dewan Rakyat semalam.
Ujar Saifuddin, kertas siasatan sudah pun siap namun Timbalan Pendakwa Raya (DPP) ketika itu (tahun 2013) bertindak mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai tiada tindakan lanjut.
Sekarang keluarga (Wan Ahmad) Faris kata ada kewajaran dilihat semula, saya hendak bagi tahu… ya polis akan buka semula.
Terdahulu, keluarga Allahyarham Wan Ahmad Faris telah menyerahkan surat kepada polis Bukit Aman pada Isnin bagi memohon membuka semula kertas siasatan kematiannya.
Imbas kembali kronologi kes
Wan Ahmad Faris yang merupakan pelajar Tingkatan Empat sekolah berkenaan telah dijumpai dalam keadaan tergantung di dalam tandas asrama Maahad Tahfiz Sains Nurul Aman, Kok Lanas pada Disember 2013.
Mayatnya ditemui penyelia asrama selepas menghidu bau busuk dan hasil bedah siasat mengklasifikasikan kes sebagai kematian mengejut serta tiada kaitan dengan unsur jenayah.
Bagaimanapun, Mahkamah Koroner pada Jun 2016 memutuskan kematian Wan Ahmad Faris adalah dibunuh oleh individu yang identitinya belum dikenal pasti.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.