Selama lebih enam bulan, Afiq Zakwan Johari menyorokkan lebam di badannya dan berdiam diri, meskipun bekerja keras sebagai pembantu peribadi dan pemandu kepada majikannya, seorang pemilik pusat kecergasan.
Kini, pemuda berusia 27 tahun itu akhirnya berkata cukup. “Saya dah tak tahan lagi,” kata Afiq dalam satu temu bual eksklusif bersama NSTP di Balai Berita semalam.
Apa yang dia buat pada saya pada 16 Jun adalah kemuncaknya. Dia pukul saya dengan kabel mesin larian sampai badan saya lebam teruk.
Lelaki yang dituduh, seorang jurulatih kecergasan berusia 37 tahun yang juga pemilik gimnasium, terkenal dalam kalangan selebriti kerana tubuh sasa, pengaruh media sosial dan gaya motivasinya.
Dia mudah naik angin dan bila dia marah, dia akan pukul. Dia guna apa saja yang ada di sekeliling, kabel, tangan kosong.
Pada awalnya, katanya, jurulatih itu melayannya dengan baik dan sering memberi bonus kepada pekerja. Namun apabila perniagaan semakin perlahan, kemarahan lelaki itu mula terserlah.

Tambahnya lagi, penderaan itu bukan sesuatu yang baru. Afiq mendakwa dia telah beberapa kali dipukul di pejabat, di rumah jurulatih itu, malah kadang-kadang di hadapan kakitangan lain.
Semua yang kerja rapat dengannya pasti pernah kena. Cuma tukang cuci saja yang terselamat, mungkin sebab jarang berinteraksi dengannya. Dia pernah ugut, kalau kami pergi buat laporan polis, dia akan cari keluarga kami.
Seorang rakan Afiq pernah cuba membuat laporan polis namun menariknya semula. Afiq pula nekad berhenti kerja dan membuat dua laporan polis pada 17 Jun dan 2 Julai. Susulan itu, empat lagi bekas pekerja tampil membuat aduan serupa.
Tertuduh, ketika dihubungi, menafikan semua dakwaan tersebut dan menganggap ia “pembohongan” selain memaklumkan ada membuat laporan polis.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.